• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label kit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kit. Papar semua catatan

5 Ogo 2021

Kerajaan disaran beri subsidi kit ujian kendiri COVID-19

 

Kerajaan disaran memberi subsidi pembelian kit ujian kendiri COVID-19 kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan mereka yang memerlukan.


Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ketika ini harga kit ujian kendiri itu sekitar RM39.90 di pasaran yang agak membebankan, terutama bagi keluarga mempunyai ahli yang ramai yang perlu membuat ujian menggunakan kit berkenaan.



Katanya, penggunaan kit itu untuk mengesan COVID-19 amat praktikal kerana kurang berisiko berbanding melakukan ujian calitan di klinik atau makmal yang memerlukan seseorang itu keluar rumah.


"Bagaimanapun dengan harga sedemikian, ia agak membebankan terutama jika satu rumah itu mempunyai sehingga empat ahli keluarga yang perlu membuat ujian menggunakan kit berkenaan.


"Justeru, kerajaan perlu mencari inisiatif dengan memberikan subsidi untuk membantu golongan ini bagi memudahkan mereka mendapatkan kit kendiri itu," katanya kepada BH, hari ini.


Lam Thye berkata, cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan kit ujian kendiri itu dalam senarai barangan harga kawalan, perlu dilakukan segera.


Ketika ini, katanya, permintaan terhadap kit terbabit semakin meningkat dan beliau bimbang akan ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.


"Saya yakin harga kit ini boleh diturunkan lagi dan berharap Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan perbincangan dengan syarikat berkenaan dalam usaha mendapatkan harga yang lebih murah," katanya.


Kelmarin, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dipetik berkata, kementerian itu bercadang menyenaraikan kit ujian kendiri COVID-19 sebagai barangan harga terkawal berikutan harganya RM39.90, terlalu membebankan rakyat.


Katanya lagi, perbincangan dengan pelbagai agensi lain termasuk KKM akan dilakukan sebelum kit ujian kendiri itu disenaraikan sebagai barangan harga kawalan.


Sementara itu, Lam Thye meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan segera insentif kepada mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.


Katanya, insentif itu bagi menceriakan mereka yang berjaya membantu kerajaan dalam usaha mencapai komuniti kelompok.


"Kerajaan diharap mula benarkan individu sedemikian makan di restoran atau kedai makan, menonton wayang di pawagam atau benarkan untuk rentas daerah dan negeri. Semua aktiviti itu, jika dibenarkan, tidak boleh mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.


Beliau berkata, dengan kadar vaksinasi yang semakin tinggi setiap hari ketika ini, sudah pasti ramai yang sudah menerima suntikan dan berharap insentif segera daripada kerajaan.


Syor subsidi beli kit ujian kendiri COVID-19 untuk B40

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/847451/syor-subsidi-beli-kit-ujian-kendiri-covid-19-untuk-b40

27 Jul 2021

Malaysia hasil kit ujian Covid-19 Salixium sensitiviti 91.23% ketepatannya 100%

 

Mudah digunakan di rumah, menghasilkan ketepatan 100 peratus dan ujian sensitiviti mencecah 91.23 peratus adalah ciri kelebihan yang ada pada kit ujian kendiri pantas antigen Covid-19 pertama buatan Malaysia, Salixium.


Salixium dihasilkan MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD) yang turut diiktiraf Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).



Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob berkata, Salixium adalah produk tempatan daripada inovasi dan bakat anak tempatan.


Menurutnya, tercetusnya idea itu pada April lalu apabila MeDKAD berkolaborasi dengan Reszon Diagnostics International Sdn Bhd selepas mendapati kes Covid-19 semakin membimbangkan.


"Kami merasakan sudah sampai masa perlunya Malaysia mempunyai kit kendiri ciptaan tempatan supaya stok itu dalam kawalan tempatan serta membuktikan ia inovasi yang bukan calang-calang.


"Hasil ujian yang dilaksanakan kami menunjukkan bahawa sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus, manakala ketepatannya ialah 100 peratus.


"Keputusan sama juga dihasilkan daripada sampel menggunakan Salixium dengan keputusan oleh makmal IMR KKM," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.


Beliau berkata, inisiatif pihaknya adalah mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk sama dari luar negara.


Menurutnya, apabila bergantung kepada produk import, ada masalah harga tinggi apabila berlakunya permintaan tinggi dan stok terhad.


"Daripada segi lain kita boleh juga kawal kualiti, mutu dan memastikan barang digunakan tiada unsur haiwan atau berkaitan halal yang agak sensitif bagi kalangan kita. Halal itu penting untuk membezakan kami dengan produk import luar dan ini juga adalah syarat untuk kami eksport ke Arab Saudi.


"Salixium sudah mula dijual 19 Julai lalu menerusi dalam talian, manakala jualan di farmasi bermula pada 21 Julai lalu dengan harga RM39.90 seunit," katanya.


Ditanya sasaran jualan, Ezuan berkata pihaknya menjangkakan untuk bulan pertama ini sejuta kit dijual dan pada Ogos dijangkakan pihaknya sudah bersedia untuk eksport di Asia Tenggara dengan jualan dijangkakan meningkat kepada lima juta kit.


Buat masa ini katanya, separuh daripada sasaran penjualan sejuta kit sudah pun dicapai.


Salixium digunakan dengan mengambil calitan air liur dan hidung menggunakan dua batang alat calitan dan keputusan boleh diperolehi dalam masa 10 hingga 15 minit apabila ia menunjukkan satu garisan (negatif) atau dua garisan (positif).


Ezuan berkata, antara sebab diperkenalkan uji kendiri itu untuk menggalakkan orang ramai melakukan saringan lebih awal atau persediaan pertahanan diri lapisan pertama secara sendiri.


"Jika rasa bergejala atau kontak rapat dengan pesakit Covid-19, boleh lakukan sendiri di rumah tanpa perlu bergaul dengan orang luar.


"Andainya positif Covid-19 maka boleh terus asingkan diri dan hubungi KKM untuk tindakan seterusnya.


"Kalau tidak mereka perlu pergi ke klinik, bercampur gaul dengan orang lain dan risiko menjangkiti pula. Kita nak saringan berlaku lebih awal, Insha-Allah cara ini boleh membantu," katanya.


Kit ujian Covid-19 kendiri Salixium mudah digunakan, hasil keputusan tepat

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/735427/kit-ujian-covid-19-kendiri-salixium-mudah-digunakan-hasil-keputusan-tepat