• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label lulus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lulus. Papar semua catatan

20 Feb 2022

Bank dunia lulus guna RM4.19 billion tabung amanah Afghanistan yang dibekukan

Bank Dunia meluluskan rancangan menggunakan kira-kira AS$1 bilion (RM4.19 bilion) daripada tabung amanah Afghanistan yang dibekukan untuk program pendidikan, pertanian, kesihatan dan keluarga, menurut kertas bank dan dua sumber.

Langkah itu dilihat sebagai satu rangsangan besar kepada usaha meredakan krisis kemanusiaan dan ekonomi negara yang semakin teruk.




Pelan yang digariskan dalam kertas yang dilihat oleh Reuters pada Jumaat adalah untuk memintas pihak berkuasa Taliban dengan mengagihkan dana dalam Tabung Amanah Pembinaan Semula Afghanistan (ARTF) yang ditadbir Bank Dunia melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia akan dibincangkan oleh Lembaga Bank Dunia pada 1 Mac, menurut sumber.

Penderma dana perlu memberikan kelulusan untuk mengeluarkan wang daripada tabung itu.

Langkah itu akan menyusuli kejayaan pengeluaran AS$280 juta (RM1.2 bilion) daripada dana amanah yang sama kepada Program Makanan Sedunia (WFP) dan agensi kanak-kanak PBB UNICEF untuk menyokong pemakanan dan kesihatan di Afghanistan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut kertas Bank Dunia, rancangan itu adalah untuk "menyediakan lebih daripada AS$1 bilion sumber ARTF pada 2022."

Menyedari keadaan masih tidak berubah, pelan itu menyasarkan fleksibiliti dengan membuat empat pengeluaran berjumlah AS$600 juta (RM2.5 bilion) dan selebihnya "atas asas keutamaan" untuk sepanjang tahun ini.

Matlamatnya adalah untuk melindungi mereka yang terdedah, membantu memelihara modal insan dan institusi ekonomi dan sosial utama dan mengurangkan keperluan untuk bantuan kemanusiaan masa depan, menurut kertas Bank Dunia.

Bank itu meminta dana berkenaan digunakan untuk program keselamatan makanan, kesihatan dan pendidikan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bulan lalu menggesa baki AS$1.2 bilion (RM5.02 bilion) dana itu dikeluarkan untuk membantu rakyat Afghanistan menjalani kehidupan pada musim sejuk sambil menekankan: "Masa adalah penting

PBB memberi amaran hampir 23 juta orang iaitu kira-kira 55 peratus penduduk negara miskin itu berdepan risiko tahap kelaparan yang melampau dengan hampir sembilan juta berisiko kebuluran.

Berbilion dolar dalam rizab bank pusat Afghanistan, dana amanah yang ditadbir Bank Dunia dan bantuan kewangan asing dibekukan bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan Taliban.

Kumpulan itu merampas kuasa pada Ogos lalu ketika tentera asing meninggalkan Afghanistan selepas perang berlangsung selama 20 tahun.

Perunding kanan kumpulan pemikir Kumpulan Krisis Antarabangsa, Graeme Smith, berkata rancangan Bank Dunia itu akan menyediakan wang yang sangat diperlukan dan pada masa sama berupaya mengelak campur tangan Taliban, yang pemimpinnya berada di bawah sekatan Amerika Syarikat (AS) dan PBB.

Pelan Bank Dunia menetapkan "syarat minimum untuk akses dan ekuiti" bertujuan untuk memastikan kanak-kanak perempuan dibenarkan ke sekolah, guru wanita boleh bekerja, wanita dimasukkan ke dalam majlis komuniti, isi rumah diketuai wanita menerima bantuan makanan dan pekerja kesihatan wanita dibenarkan bekerja.

Ia memerlukan kira-kira AS$150 juta (RM627 juta) untuk diagihkan melalui UNICEF kepada lebih 200,000 guru yang tidak dibayar lebih enam bulan.

Sebanyak AS$100 juta (RM418 juta) lagi akan diperuntukkan untuk meningkatkan daya tahan masyarakat, AS$150 juta hingga AS$200 juta (RM837 juta) untuk keselamatan makanan, dan AS$150 juta untuk program kesihatan.

AS minggu lalu mengumumkan rancangan untuk membenarkan separuh daripada AS$7 bilion (RM29 bilion) aset bank pusat Afghanistan yang dibekukan di Federal Reserve Bank of New York digunakan untuk membantu rakyat Afghanistan. Selebihnya adalah untuk memenuhi tuntutan undang-undang berkaitan keganasan terhadap Taliban. - REUTERS


Bank Dunia lulus pelan guna AS$1 bilion dana amanah Afghanistan

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2022/02/924384/bank-dunia-lulus-pelan-guna-as1-bilion-dana-amanah-afghanistan

27 Jul 2021

Parlimen Perancis lulus pasport vaksin

 

Parlimen Perancis pada Ahad meluluskan untuk penggunaan pasport vaksin di negara itu.


Minggu lalu, Presiden Emmanuel Macron mengarahkan penduduk negara itu menggunakan pas kesihatan itu iaitu bukti pengesahan imunisasi lengkap Covid-19 atau keputusan ujian saringan negatif untuk memasuki venue seperti pawagam dan pusat hiburan.



Langkah itu sebelum ini menimbulkan bantahan daripada banyak pihak atas alasan, hak asasi.


Bagaimanapun, peraturan itu masih perlu diluluskan oleh peringkat kuasa tertinggi iaitu, Lembaga Perlembagaan sebelum ia boleh diwartakan sebagai undang-undang - langkah tambahan yang dipohon oleh Perdana Menteri Jean Castex.


Pengumuman Macron sebelum ini menjadikan pas kesihatan itu wajib untuk pawagam, muzium dan venue di mana membabitkan perhimpunan dengan lebih 50 orang.


Selain itu, pengesahan itu diperlukan untuk pengangkutan udara dan tren antara bandar, termasuk untuk mengunjungi kafe dan restoran.


Pada masa sama, kakitangan kesihatan wajib divaksin.


Perancis merekodkan hampir 23,000 kes baharu Covid-19 pada Sabtu, dua kali ganda berbanding minggu lalu.


Lonjakan kes itu berikutan penularan varian Delta.


Parlimen Perancis luluskan pasport vaksin

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/eropah/2021/07/734959/parlimen-perancis-luluskan-pasport-vaksin

21 Jul 2021

Jepun lulus antibodi Ronapreve rawat pesakit COVID-19

 

Firma farmaseutikal gergasi Switzerland, Roche, hari ini memaklumkan Jepun menjadi negara pertama meluluskan rawatan antibodi Ronapreve bagi pesakit COVID-19.


Kelulusan bagi ubat untuk mereka yang menghidap gejala ringan hingga sederhana itu dibuat berdasarkan dapatan ujian fasa 3 membabitkan koktel antibodi.




Ia berkesan bagi mengurangkan secara mendadak risiko pesakit COVID-19 bergejala ringan atau sederhana menjadi lebih serius sehingga terpaksa dikejar ke hospital atau mengundang maut.


Ronapreve, rawatan antibodi yang dibangunkan dengan kerjasama firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Regeneron, diluluskan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, kata Roche dalam satu kenyataan.


Ketua Pegawai Perubatan Roche dan Ketua Pembangunan Produk, Levi Garraway, dalam satu kenyataan bersama, berkata Ronapreve menunjukkan ia mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan dan kematian.


"Keupayaan untuk mempertahan kemunculan varian baharu terutama varian Delta, ditunjukkan dalam kajian praklinikal," katanya.


Menurut Roche, ujian fasa 3 Ronapreve menunjukkan pesakit risiko tinggi yang tidak dimasukkan ke hospital dan dirawat dengan ubat berkenaan mengalami penurunan risiko hingga 70 peratus.


Rawatan sama turut memendekkan jangka masa penyakit bergejala kepada empat hari, kata Roche sambil menambah ujian fasa 1 menunjukkan keselamatan dan penerimaan ubat berkenaan dalam kalangan penduduk Jepun.


Selain Jepun, rawatan yang menggunakan kombinasi antibodi turut diluluskan untuk kegunaan kecemasan atau kegunaan sementara semasa pandemik di beberapa negara termasuk di Kesatuan Eropah (EU), AS, India, Switzerland dan Kanada.


Campuran itu sedang melalui penelitian Agensi Ubat-ubatan Eropah, yang membenarkan penggunaannya sebagai rawatan pilihan untuk pesakit COVID-19 yang tidak memerlukan oksigen tetapi berisiko tinggi menjadi lebih teruk. - AFP


Jepun negara pertama lulus Ronapreve untuk COVID-19

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/841534/jepun-negara-pertama-lulus-ronapreve-untuk-covid-19

30 Jun 2021

India lulus penggunaan kecemasan vaksin Moderna

 India semalam meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Moderna bagi mempertingkat kadar inokulasi susulan lonjakan jangkitan dan kematian akibat COVID-19.


Negara memiliki 1.3 bilion penduduk itu dibadai penularan COVID-19 yang dahsyat pada April dan Mei lalu sehingga menghimpit sistem penjagaan kesihatannya ke ambang kegagalan.



Moderna adalah vaksin keempat diluluskan New Delhi, selepas Covishield (Oxford-AstraZeneca) dan Covaxin - yang dibangunkan syarikat farmaseutikal India, Bharat Biotech - serta Sputnik V (Russia).


Ahli badan penasihat kerajaan NITI Aayog, Vinod K Paul, memaklumkan kelulusan penggunaan kecemasan (EUA) diberikan selepas permohonan diterima daripada Moderna melalui rakan kerjasama, Cipla.


"Kelulusan itu - yang pertama kepada vaksin jenis mRNA di India - bakal membuka laluan untuk lebih banyak vaksin buatan luar diimport ke negara ini," katanya pada satu sesi taklimat Kementerian Kesihatan.


Beliau sekali gus memaklumkan, usaha juga sedang giat dilakukan bagi memperoleh vaksin Pfizer dan Johnson & Johnson.


Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel, berkata kelulusan diperoleh itu adalah langkah penting dalam usaha global memerangi pandemik COVID-19.


"Kami komited untuk memastikan vaksin COVID-19 yang dihasilkan dapat dibekalkan ke seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.


Sejumlah kecil dos Sputnik V diimport ke India selepas mendapat kelulusan pada pertengahan April lalu, namun majoriti bekalan vaksin dijangka dihasilkan dalam negara, seperti Covishield dan Covaxin.


Dua bulan lalu, India memaklumkan akan mempercepat kelulusan kepada vaksin dari luar negara yang sudah diberi EUA oleh badan kawal selia utama seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).


Sebelum ini, Kerajaan India berdepan tekanan hebat daripada pelbagai pihak yang mendesak usaha inokulasi dipertingkat dengan membenarkan pengimportan vaksin buatan luar negara, seperti Pfizer dan Moderna. - AFP


India lulus penggunaan kecemasan vaksin Moderna

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/06/833778/india-lulus-penggunaan-kecemasan-vaksin-moderna

15 Jun 2021

Iran lulus vaksin keluaran tempatan COVIran Barekat

 

Iran semalam mengumumkan sudah memberi kelulusan kecemasan kepada vaksin keluaran tempatan bagi memerangi penularan wabak COVID-19.


Media Iran melaporkan, langkah itu bertujuan menampung kekurangan bekalan vaksin import, sekali gus membolehkan rakyat yang sudah menerima suntikan pertama, untuk mendapatkan dos kedua.



"Vaksin Barekat telah mendapat kebenaran untuk penggunaan kecemasan dan ia akan ditambah ke dalam program vaksinasi kebangsaan mulai minggu depan," kata Menteri Kesihatan, Said Namaki, melalui laman web kementerian itu.


Vaksin itu yang nama penuhnya ialah COVIran Barekat, dibangunkan oleh sebuah yayasan milik negara dikenali sebagai Setad.


Seorang pegawai yayasan itu memberitahu agensi berita negara IRNA bahawa pengeluaran vaksin terbabit sudah bermula awal bulan ini dengan kira-kira tiga juta dos dihasilkan, setakat ini.


Hingga kini berdasarkan perangkaan rasmi, pandemik COVID-19 telah menjangkiti lebih tiga juta penduduk dengan lebih 82,000 kematian di Iran. - AFP


Iran hasilkan vaksin tempatan perangi COVID-19

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/06/828072/iran-hasilkan-vaksin-tempatan-perangi-covid-19

12 Mei 2021

Teleskop gergasi James Webb Space sedia dilancarkan menerusi roket Ariane 5 hujung Oktober


Teleskop ruang angkasa terbesar dan terhebat di dunia membuka cermin emas gergasi buat kali terakhir di bumi semalam, sebelum balai cerap bernilai AS$10 bilion (RM41.24 bilion) dilancarkan akhir tahun ini.


NASA berkata, cermin Teleskop James Webb Space berukuran 6.5 meter (m) mengembang sepenuhnya dan terkunci pada tempatnya, ujian terakhir bagi memastikan ia bertahan dalam perjalanan 1.6 juta kilometer (km) dan sedia untuk mengetahui asal-usul semesta.




Kontraktor utama Northrop Grumman, Scott Willoughby, berkata ia seperti membuat jam tangan Swiss setinggi 12.2 m dan menyediakannya bagi perjalanan memasuki ruang vakum pada suhu -240 celsius (°C), empat kali lebih jauh dari bulan.


Beliau bercakap di lapangan terbang syarikat itu di Pantai Redondo, California, lokasi teleskop itu akan dihantar ke Guiana Perancis untuk dilancarkan menerusi roket Ariane 5 yang dijadualkan NASA, pada 31 Oktober depan.


Cermin utama Webb dibuat daripada 18 segmen heksagon, bersalut lapisan emas sangat nipis bagi meningkatkan pantulan cahaya inframerah.


Ia dilipat seperti origami ketika dilancarkan bagi memastikan muat di dalam reraut roket 5m, sebelum menggunakan 132 penggerak dan motor untuk membengkokkan setiap cermin ke kedudukan tertentu.


Cermin itu akan berfungsi sebagai pemantul besar, membolehkan teleskop melihat lebih jauh ke dalam kosmos berbanding sebelum ini. - AFP

8 Mei 2021

WHO lulus penggunaan vaksin Covid-19 Sinopharm dari China

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 dihasilkan Sinopharm dari China bagi meningkatkan usaha imunisasi global.


Ia menjadikan Sinopharm sebagai syarikat farmaseutikal bukan dari Barat pertama diberikan lampu hijau oleh WHO.


"Jumlah kes harian dan angka kematian terus meningkat. Kita mungkin akan melihat situasi sama yang serius berlaku di India dan Brazil," kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media.


WHO sudah memberi kelulusan untuk penggunaan vaksin Covid-19 yang dihasilkan Pfizer-BioNTech, Moderna, Johnson and Johnson, dan AstraZeneca yang dihasilkan di beberapa lokasi berasingan di India dan Korea Selatan.


WHO luluskan penggunaan vaksin Sinopharm

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/eropah/2021/05/703961/who-luluskan-penggunaan-vaksin-sinopharm

14 Jan 2021

Cap dagangan Harimau Menangis belum diluluskan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO)

 

Ibu kepada Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed diminta tidak mendahului Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) dalam mendakwa jenama Harimau Menangis telah didaftar sebagai cap dagangan selain menjadi hak ekslusif beliau.


Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, MyIPO menerima permohonan daripada Noor Kartini untuk mendaftarkan jenama Harimau Menangis baru diterima oleh MyIPO pada bulan November tahun lalu, dan ia masih lagi dalam peringkat pemeriksaan.



“Sehubungan itu, jenama Harimau Menangis yang dipohon oleh beliau belum lagi diluluskan dan belum menjadi hak eksklusif beliau.


“Permohonan beliau sama ada diluluskan ataupun tidak, bergantung kepada hasil pemeriksaan dan pertimbangan oleh MyIPO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau mengulas isu jenama Harimau Menangis keluaran Noor Kartini menerusi syarikatnya Noor Khan Enterprise.


Ujarnya, MyIPO akan memproses permohonan beliau sepertimana biasa di mana sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.


Beliau menambah, cap dagangan bererti apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.


Cap dagangan Harimau Menangis belum lulus, Noor Kartini jangan dahului MyIPO

Pautan : https://www.kosmo.com.my/2021/01/13/cap-dagangan-harimau-menangis-belum-lulus-noor-kartini-jangan-dahului-myipo/

16 Jul 2020

Usul gubal akta antilompat parti diluluskan


Berita wakil rakyat keluar dari parti politik yang diwakilinya semasa memenangi pilihanraya seakan sudah tidak menarik minat rakyat. Perkara ini telah berlarutan sejak beberapa tahun yang lepas.


Terdapat cadangan dari parti tertentu beberapa tahun yang lepas agar kerajaan menggubal undang-undang mengelak wakil rakyat meletak jawatan sewenang-wenangnya bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang disifatkan parti itu sekadar permainan politik pihak berkepentingan.

Kenapa?

"Sebab wakil rakyat yang menang atas nama satu parti, dia dianggap khianat kepada pengundi kalau dia lompat parti dan kita harap kerajaan boleh gubal peraturan untuk sekat mana-mana ahli Parlimen yang menang untuk lompat parti."

Syor gubal undang-undang kosong kerusi, lompat parti
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/09/473311/syor-gubal-undang-undang-kosong-kerusi-lompat-parti

Cadangan di atas dibuat selepas keputusan PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi berkenaan.


Lebih kurang sebulan kemudian selepas cadangan di atas, pihak SPR telah memberi ulasan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpandangan setiap rakyat bebas berpersatuan selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Liew Vui Keong, berkata hak kebebasan untuk berpersatuan turut terpakai keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan kes Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 1992.

“Kerajaan sentiasa terbuka terhadap cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang daripada pelbagai pihak.


“Bagaimanapun, berhubung cadangan untuk menggubal undang-undang anti lompat parti, SPR berpandangan setiap rakyat bebas berpersatuan,” katanya.


Tiada keperluan gubal undang-undang anti lompat parti
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/10/487224/tiada-keperluan-gubal-undang-undang-anti-lompat-parti


Terbaru Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah meluluskan usul mendesak Parlimen menggubal akta bagi menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen melompat parti tanpa alasan munasabah.

Speaker, Ng Suee Lim, berkata menerusi usul berkenaan, DUN Selangor bersetuju jika ada wakil rakyat melompat parti, mereka perlu mengosongkan kerusi dimenangi bagi membolehkan rakyat memilih semula wakil rakyat baharu.

"Kalau ikutkan sebagai ADUN termasuk saya sendiri, memang selama ini sesiapa pun yang dipilih menerusi pilihan raya dan apabila mereka lompat parti, khianat dan sebagainya tanpa alasan munasabah rakyat pasti akan marah.

"Kita tidak ada hak untuk menggubal undang-undang kerana ia adalah kuasa Parlimen dan hari ini kita hanya mengemuka usul untuk menggesa dan mendesak akta antilompat parti digubal.


"Semua setuju yang mana ADUN atau Ahli Parlimen yang melompat parti perlu mengosongkan kerusi bagi menghormati mandat rakyat.

DUN Selangor lulus usul gubal akta antilompat parti
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/07/711707/dun-selangor-lulus-usul-gubal-akta-antilompat-parti


Sebagai salah seorang pengundi yang berdaftar, saya turut bersetuju dengan cadangan agar satu akta yang berkaitan digubal agar kes sebegini tidak berlarutan. Hukuman yang sesuai dalam fikiran saya adalah bersifat limitasi / pengehadan / pembatasan yang akan dihadapi oleh mereka yang terlibat. 

Penalti tidak dapat menjadi calon wakil rakyat dalam pilihanraya berikutnya serta tidak dibenarkan memegang jawatan dalam kerajaan dalam tempoh tertentu dilihat sebagai salah satu cadangan yang perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan sekiranya usul yang telah dibawa diterima untuk dibahaskan.

20 Nov 2010

pembedahan plastik hadiah lulus peperiksaan kelayakan memasuki universiti

SEOUL: Selepas bersusah payah mengharungi peperiksaan kelayakan memasuki universiti, kebanyakan pelajar Korea Selatan kini memilih ganjaran bagi membayar penat lelah mereka itu dengan menjalani pembedahan plastik.

Sebilangan hospital bedah plastik mengambil peluang aliran semasa ini di mana kebanyakan ibu bapa memberi ganjaran kepada anak mereka yang gigih belajar selama beberapa tahun dengan menjalani pembedahan plastik, menawarkan potongan bagi operasi hidung dan mata.
Bentuk pembedahan popular termasuk menjadikan hidung lebih tinggi dan membedah mata supaya ia kelihatan lebih besar, terutama sekali popular di kalangan wanita muda.

“Kami sudah mempunyai satu senarai yang panjang dengan nama pelajar malah sebelum mereka menjalani peperiksaan lagi,” kata pengurus sebuah hospital kepada JoongAng Daily.