• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label mula. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mula. Papar semua catatan

20 Sep 2021

unifi tambah 12 saluran baru bermula 1 Oktober

 

unifi akan menawarkan 12 saluran dan tujuh aplikasi penstriman baharu menerusi unifi TV bermula 1 Oktober 2021, selaras usaha berterusan jenama itu mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan konvergen utama negara.


Ia juga sejajar komitmennya untuk menyediakan hiburan bertaraf dunia dan berkualiti tinggi untuk tontonan di rumah dan di mana sahaja.


12 saluran linear baharu terbabit adalah Celestial Movies, CCM, K-Plus, GEM, AXN, Animax, HITS, HITS MOVIES, TechStorm, Arirang TV, SPOTV dan SPOTV2.


Manakala, tujuh aplikasi penstriman baharu yang diperkenalkan adalah Amazon Prime Video, Lionsgate Play, TVBAnywhere+, iQiyi, Viu, ZEE5 dan Simply South.


Aplikasi penstriman terbabit akan boleh didapati di unifi Plus Box untuk ditonton di rumah atau dimuat turun oleh pelanggan ke peranti pintar mereka untuk ditonton dari mana-mana sahaja.


Ketua Pegawai Komersial Telekom Malaysia Berhad (TM), Anand Vijayan, berkata beliau optimis bahawa penawaran baharu di unifi TV akan mengalakkan pendaftaran pelanggan baharu berikutan kekuatan penawaran konvergen jenama itu.


Katanya, dengan tambahan saluran baharu, unifi TV bakal menawarkan sejumlah 73 saluran dan 10 aplikasi penstriman di platformnya.


"Selain itu, ini julung-julung kalinya aplikasi Lionsgate Play dan Simply South ditawarkan di Malaysia di platform pengumpulan kandungan


seperti unifi TV, yang juga penyedia perkhidmatan kandungan yang pertama di negara ini menawarkan saluran linear serta aplikasi penstriman di dalam satu platform menerusi unifi Plus Box," katanya dalam satu kenyataan.


Aplikasi penstriman Lionsgate Play menempatkan filem-filem pecah panggung, kandungan asal dan premium, selain siri-siri yang gemar ditontoni.


Ia juga menawarkan pilihan program yang tidak luput ditelan zaman dan program yang ikonik untuk seisi keluarga di saluran AXN, HITS serta HITS MOVIES.


Kebanyakan saluran baharu dan aplikasi penstriman terbabit akan menepati citarasa ramai dengan pelbagai pilihan rancangan dan program hiburan vernakular yang lebih meluas untuk semua orang.


Siri-siri Melayu yang terkenal dan ekslusif akan boleh ditontoni di Viu dan iQiyi, manakala untuk peminat-peminat kandungan hiburan Cina, pelanggan akan mempunyai banyak pilihan kandungan di Celestial Movies, CCM, iQiyi dan TVBAnywhere bagi memenuhi citarasa tontonan.


Bagi peminat kandungan dari India, dua rakan aplikasi baharu, Simply South dan ZEE5 ditambah ke dalam penawaran kandungan untuk dinikmati mereka.


unifi TV tambah 12 saluran baru

7 Sep 2021

90 ahli keluarga mangsa pesawat MH17 mula beri keterangan di mahkamah

 

Kira-kira 90 ahli keluarga kepada 298 mangsa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014, akan memberi keterangan di mahkamah di sini, bermula Isnin.


Prosiding untuk tujuan itu dijangka akan mengambil masa tiga minggu.



Menurut NL Times, ada antara waris akan di mahkamah, selebihnya akan memberi keterangan menerusi panggilan video kerana tidak dapat menghadiri prosiding berkenaan


Selain itu, ratusan lagi akan menulis keterangan yang akan dikemukakan dalam kes berkenaan.


Difahamkan, ada kalangan mereka akan menunjukkan foto dan video mangsa atau membawa barangan peribadi yang akan dikemukakan di mahkamah.


Peguam yang mewakili 150 waris kepada mangsa, Arlette Schijns berkata, keterangan waris itu bagi menunjukkan kepada mahkamah dan dunia mengenai impak tragedi itu.


Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila dibedil peluru berpandu darat ke udara buatan Rusia, menurut penyiasat serta pendakwa antarabangsa.


Tiga rakyat Rusia dan seorang warga Ukraine yang disyaki memainkan peranan utama dalam kumpulan pemisah kini dibicarakan atas tuduhan bunuh.


Mereka ialah bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera agensi Tentera Russia (GRU) Sergey Dubinskiy; bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine.


Moscow enggan mengekstradisi mereka yang berada di Rusia, selain menafikan bertanggungjawab seperti didakwa oleh kerajaan Belanda.


Kapal terbang itu terhempas di sebuah padang dalam wilayah dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia yang menentang tentera Ukraine.


Selepas menghimpunkan bukti selama beberapa tahun, pada Mei 2018 sepasukan penyiasat antarabangsa menyimpulkan bahawa pelancar yang digunakan untuk menembak peluru berpandu berkenaan adalah milik Briged ke-53 Peluru Berpandu Antipesawat Rusia.


Waris MH17 beri keterangan di mahkamah, bermula hari ini

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/eropah/2021/09/751726/waris-mh17-beri-keterangan-di-mahkamah-bermula-hari-ini

11 Mei 2021

Kerajaan sedia guna vaksin Covid-19 Sinovac


Negara sedia menggunakan lebih 500,000 dos vaksin Covid-19 keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China yang dibotolkan oleh Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd.


Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Pharmaniaga dijangka membekalkan sejumlah 180,000 dos minggu ini.



Beliau berkata, sejumlah 450,000 dos lagi dijangka tersedia pada 18 Mei ini.


Katanya ia kini sedang melalui ujian oleh Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).


"Vaksin yang dibekalkan secara 'fill-and-finish' akan mula digunakan bermula bulan ini," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) di sini, tadi.


Khairy berkata, negara akan menerima bekalan seterusnya vaksin keluaran Pfizer-BioNTech 259,740 dos bulan ini.


Beliau berkata, sebanyak 197,730 dos akan tiba pada 19 Mei diikuti sebanyak 44,460 dos pada 20 Mei sebelum 17,550 dos lagi akan tiba sehari kemudian.


"Termasuk dengan angka ini, jumlah dos vaksin Pfizer yang sudah dan akan kita terima sehingga 21 Mei adalah 2,490,930 dos.


"Bagi vaksin AstraZeneca, ketibaan bekalan kedua adalah dijadualkan pada 20 Mei 2021 dan yang ketiga pada 1 Jun 2021 dengan jumlah sebanyak 615,120 dos sekali penghantaran," katanya.


Sementara itu, Khairy berkata, setiap tiga daripada setiap vaksin Covid-19 yang sudah tiba di negara ini, telah digunakan.


Justeru, beliau sekali lagi menafikan kadar vaksinasi negara adalah rendah.


"Untuk makluman kadar penggunaan vaksin di Malaysia untuk waktu ini adalah 75 peratus. Sememangnya, kami ingin meningkatkan lagi kadar ini ke 80 peratus, tetapi sudah pastinya kami tidak boleh pergi lebih tinggi daripada peratusan ini kerana perlunya simpanan untuk dos kedua sebelum tibanya bekalan vaksin seperti dijadualkan," katanya.


Beliau berkata ketika ini, proses vaksinasi dijalankan selama enam hari seminggu dan ia akan ditingkatkan kepada tujuh hari seminggu sebaik bekalan vaksin Covid-19 meningkat dengan ketibaan lebih banyak bekalan vaksin di masa depan.


Dalam perkembangan berkaitan, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) meminta mana-mana individu yang mengalami kesan samping yang teruk selepas menerima vaksin Covid-19 untuk tampil mendapatkan rawatan dengan segera.


Beliau berkata, bahagian farmasi di KKM akan merekodkan semua laporan serta aduan yang diterima melalui aplikasi MySejahtera.


Menurutnya, KKM juga mengumpul rekod aduan yang dikemukakan penerima apabila mereka menerima rawatan di hospital.


"Dengan kes kesan samping serius, kami dapati mereka tidak memerlukan rawatan di hospital yang berpanjangan.


"Kami merayu kepada penerima jika mereka memerlukan rawatan di hospital, jangan tunggu di rumah," katanya.


Rakyat Malaysia akan mula guna vaksin Sinovac

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/704662/rakyat-malaysia-akan-mula-guna-vaksin-sinovac

30 Mac 2021

Projek penambahbaikan dan naiktaraf Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak dijangka bermula Julai 2021

 

Projek penambahbaikan dan naik taraf Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Kem Terendak, Melaka kini di peringkat penilaian teknikal tender dan dijangka akan bermula pada penghujung Julai ini.


Ia dimaklumkan ketika lawatan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di kem berkenaan dengan tumpuan lawatan di 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) Terendak dan ketumbukan pasukan 10 Briged Para (10 Bgd Para).



Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu bertujuan mendapatkan perkembangan terkini rancangan kerja naik taraf bakal dilaksanakan di hospital berkenaan.


"Sepanjang lawatan di hospital itu, beliau ditaklimatkan oleh Pegawai Memerintah 94 HAT, Brigedier Jeneral Dr Mohamed Hatta Manis diiringi Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan.


"Panglima Angkatan Tentera diberi taklimat khusus berkenaan kerja naik taraf kemudahan di hospital berkenaan meliputi kerja naik taraf keseluruhan Dewan Bedah, kerja naik taraf keseluruhan Wad ICU dan kerja naik taraf keseluruhan Jabatan Kecemasan.


"Selain itu, turut ditaklimatkan adalah kerja naik taraf keseluruhan Jabatan Bekalan Steril (CSSD), kerja penambahbaikan bumbung bangunan utama hospital, kerja naik taraf sistem bekalan air yang melibatkan pembinaan menara tangki air," katanya.


Menurutnya, lawatan itu turut memberi penerangan berhubung kerja naik taraf sistem lif utama pesakit iaitu penggantian lif penumpang, lif sisa klinikal dan lif ICU serta naik taraf sistem bekalan elektrik utama kompleks hospital melibatkan pembinaan pencawang elektrik baharu serta penggantian sistem janakuasa siap sedia.


Katanya, turut ditaklimatkan adalah kerja naik taraf sistem melawan kebakaran di blok pembedahan, ICU, Dewan Bedah dan Jabatan Bekalan Steril dan kerja naik taraf sistem bekalan gas perubatan.


"Semua kerja penambahbaikan dan naik taraf ini berdasarkan peruntukan RM40 juta untuk proses menaik taraf dan menyelenggara hospital berkenaan yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan pada 28 November lalu.


"Peruntukan itu bagi menampung keperluan semasa hospital berkenaan dalam menyediakan kemudahan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran dan komuniti setempat yang memerlukan," katanya.


Dalam pada itu, Affendi turut mengadakan lawatan di 10 Briged Para bagi melihat keupayaan atur gerak pasukan berkenaan sebagai salah satu elemen dalam Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).


Beliau kemudian dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.


"Penganugerahan beret dan sayap yang menjadi kebanggaan 10 Briged Para ini adalah penghormatan dan pengiktirafan briged berkenaan kepada individu, pemimpin tertinggi tentera atau kerajaan sama ada di dalam atau luar negara," katanya.


Hospital Angkatan Tentera dinaik taraf bermula Julai ini

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/689374/hospital-angkatan-tentera-dinaik-taraf-bermula-julai-ini

1 Okt 2010

peperiksaan SPM 2010 bermula pada 23 November 2010

KUALA LUMPUR: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diadakan mulai 23 November ini dan bukannya 22 November sebagaimana yang diumum sebelum ini, berikutan cuti umum di Johor.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sudah memaklumkan mengenai tarikh baru peperiksaan SPM itu kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri melalui surat siaran bertarikh 7 Mei lalu.