• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label penerima. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penerima. Papar semua catatan

28 Jul 2021

Payudara bengkak simptom normal penerima vaksin Pfizer

 

Sebilangan pakar berpendapat simptom payudara membesar selepas suntikan vaksin Pfizer sebenarnya tindak balas imunisasi yang berlaku selepas individu tersebut disuntik pada bahagian lengan, lapor akhbar Daily Star semalam.


Pengarah Pusat Penjagaan Payudara Universiti California San Francisco, Dr. Laura Esserman berkata, apabila individu itu disuntik pada bahagian atas lengan, adalah normal bagi kelenjar limfa untuk membengkak sebagai sebahagian daripada tindak balas imunisasi.

“Saya pasti beratus-ratus ribu wanita akan mengalami keadaan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan yang menyebut bahawa ramai wanita di Amerika Syarikat (AS) berasa bimbang kerana mengalami bengkak pada bahagian payudara selepas menerima suntikan vaksinasi Covid-19 yang dikhuatiri merupakan simptom kanser payudara.


Keadaan itu telah menyebabkan bilangan wanita di negara itu menemui doktor bagi menjalani ujian mamogram meningkat.


Selain di AS, perkara serupa turut dilaporkan di seluruh dunia, di mana ramai wanita mendakwa payudara mereka membesar selepas menerima suntikan vaksin Pfizer sekali gus mewujudkan istilah ‘pembesaran payudara Pfizer’.


Menurut beberapa pakar, selain sakit tekak atau simptom  seperti selesema, payudara membengkak boleh berlaku kepada sesetengah individu selepas mendapatkan suntikan.


Bagaimanapun, Kolej Radiologi Diraja Australia dan New Zealand melaporkan keadaan bengkak seperti itu tidak berlaku dalam kalangan wanita yang menerima suntikan vaksin AstraZeneca. – AGENSI 


Payudara membesar selepas suntikan Pfizer adalah normal

Pautan : https://www.kosmo.com.my/2021/07/27/payudara-membesar-selepas-suntikan-pfizer-adalah-normal/

8 Mei 2021

Vietnam lapor kematian pertama penerima vaksin AstraZeneca akibat reaksi alahan anafilaksis

 

Kementerian Kesihatan melaporkan seorang pekerja kesihatan wanita berusia 35 tahun maut selepas menerima vaksin AstraZeneca, kematian pertama dikaitkan dengan vaksin itu di Vietnam.


Wanita berasal dari wilayah Selatan An Giang itu meninggal dunia sehari selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 pertamanya, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan sambil menambah wanita berkenaan meninggal dunia akibat reaksi alahan yang dikenali sebagai anafilaksis.



"Ini adalah kes yang sangat jarang terjadi dalam pengambilan vaksin COVID-19," kata kementerian itu.


Seramai 750,000 orang di negara itu sudah divaksin sejak kerajaan memulakan kempen vaksinasi pada awal Mac, menurut kementerian terbabit. Ia membabitkan penggunaan vaksin jenis AstraZeneca.


Vietnam sebelum ini menerima pujian kerana berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 menerusi pelaksanaan ujian saringan yang pantas serta program kuarantin yang ketat dan berpusat.


Kematian yang berlaku pada Jumaat, ketika negara itu sedang menghadapi wabak berkenaan sejak awal minggu lalu, dengan penularan secara meluas berlaku di banyak bahagian negara, termasuk ibu kota Hanoi.


Kementerian melaporkan, sebanyak 47 jangkitan baharu direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 3,137 kes dengan 35 kematian di negara itu. - Agensi


Vietnam lapor kematian pertama dikaitkan vaksin AstraZeneca

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/05/814856/vietnam-lapor-kematian-pertama-dikaitkan-vaksin-astrazeneca

23 Apr 2021

United Kingdom lapor 32 penerima suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca meninggal dunia

 

United Kingdom (UK) melaporkan 168 penerima suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca mengalami kesan sampingan pembekuan darah termasuk 32 yang maut akibatnya.


Menurut Agensi Kawal Selia Produk Ubat dan Kesihatan (MHRA), mereka yang mengalami pembekuan darah atau 'thromboembolic event' meningkat sehingga 14 April lalu, apabila 21.2 juta orang menerima suntikan dos pertama vaksin itu.



"Ia menunjukkan peningkatan sepuluh kematian berbanding tempoh sehingga 5 April dan tambahan 68 kes.


"Berdasarkan tinjauan yang kami jalankan sekarang, nasihat kami kekal bahawa manfaat vaksin ini melebihi risiko dalam kalangan majoriti penerima," katanya.


Bertindak atas nasihat badan pengawalselia itu, kerajaan UK pada bulan ini bersetuju menawarkan vaksin alternatif selain AstraZeneca kepada penerima berusia bawah 30 tahun, susulan kebimbangan mengenai pembekuan darah.


Daripada 168 kes dalam penemuan terbaru, 'cerebral venous sinus thrombosis' (CVST atau pembekuan darah dalam otak) dilaporkan dalam 77 kes dalam kalangan individu berumur purata 47 tahun.


Sebanyak 91 kes lagi, dengan purata usia 55 tahun, menghidap 'major thromboembolic event' bersama dengan 'trombositopenia' iaitu jumlah platelet rendah.


Secara keseluruhan, kata pensyarah pediatrik dari Universiti Bristol, Prof Adam Finn, seramai 93 wanita dan 75 lelaki menghidap pembekuan darah selepas menerima suntikan vaksin AstraZeneca.


"Saya menjangkakan jumlah sebenar kesan sampingan per juta dos vaksin akan menjadi jelas apabila laporan ini lengkap, tetapi setakat ini ia jelas bahawa simptom darah beku ini sangat jarang berlaku," katanya.


Britain merekodkan jumlah kematian tertinggi di Eropah akibat wabak pandemik COVID-19.


Sejak negara itu menjalankan program vaksinasi yang bermula dengan dos suntikan vaksin jenis AstraZeneca, kadar jangkitan dan kemasukan ke hospital termasuk kematian menunjukkan penyusutan.


Menurut data berasingan yang dikeluarkan oleh Pejabat Statistik Kebangsaan, COVID-19 bukan lagi punca utama kematian pada Mac lalu.


Berdasarkan data itu, COVID-19 adalah penyebab kematian ketiga terbesar di England pada bulan lalu, jatuh kedudukan dari tempat teratas buat pertama kalinya sejak Oktober tahun lalu. - AFP


32 maut di UK selepas terima suntikan AstraZeneca

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/04/809746/32-maut-di-uk-selepas-terima-suntikan-astrazeneca

19 Apr 2021

Penerima punyai sistem imun badan kuat alami kesan sampingan vaksin Covid-19 lebih ketara

 

Orang muda dan wanita dilaporkan mungkin berdepan kesan sampingan lebih ketara selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19 kerana mempunyai sistem imun lebih kuat.


Kesan sampingan yang biasa dialami termasuk sengal-sengal pada tangan, demam, pening dan keletihan.


Namun, ia tidak bermakna vaksin Covid-19 kurang berkesan pada mereka yang tidak mengalami kesan sampingan berkenaan, menurut pakar.



Penolong Profesor Hsu Li Yang, naib dekan kesihatan global di Sekolah Kesihatan Awam Universiti Nasional Singapura (NUS), Saw Swee Hock berkata, kesan sampingan yang sering dialami seperti sakit lengan, sengal-sengal pada otot, demam, pening kepala dan keletihan adalah hasil kereaktifan, manifestasi fizikal sistem imun yang bertindak balas terhadap vaksinasi.


"Tiada kaitan secara langsung antara ketiadaan atau kehadiran kesan sampingan reaktifogenik dengan keberkesanan vaksin.


"Jadi, mereka yang tidak mempunyai kesan sampingan juga masih dilindungi oleh vaksin itu," katanya seperti dilaporkan Berita Harian Singapura.


Sementara itu, pakar penyakit berjangkit di Hospital Gleneagles, Dr Ling Li Min berkata, kesan sampingan seperti demam dan sengal-sengal adalah tanda baik bahawa tindak balas imun berfungsi.


"Namun, keberkesanan vaksin pada orang tua belum dapat dikaji dengan baik setakat ini.


"Secara teori, ini bermakna vaksin kurang berkesan pada orang yang lebih tua kerana kekurangan sel T yang ada dalam tubuh mereka untuk bertindak balas terhadap vaksin," katanya.


Sel T adalah sejenis sel darah putih yang bekerjasama dengan antibodi untuk menghapuskan virus Sars-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19, lapor The Straits Times.


Katanya, ia tidak bermakna warga tua tidak perlu mendapatkan vaksin, sebaliknya patut mendapatkan perlindungan dengan vaksin.


"Disebabkan sistem imun mereka yang semakin menua, (warga tua) mempunyai kemungkinan lebih tinggi mengalami simptom teruk, dimasukkan ke unit jagaan rapi atau mati jika dijangkiti," katanya.


Menurutnya, kajian di Britain menunjukkan bahawa bagi mereka yang berusia 80 tahun ke atas, vaksin Pfizer mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 86 peratus dalam mencegah jangkitan simptomatik Covid-19 lebih 14 hari selepas dos kedua.


Dalam percubaan Pfizer, mereka yang berusia antara 18 dengan 55 tahun melaporkan mengalami kesan sampingan seperti demam, keletihan, sakit kepala dan sakit di bekas tempat suntikan lebih kerap berbanding mereka yang berusia 56 tahun ke atas.


Vaksin Moderna juga menunjukkan trend serupa dengan mereka berusia 18 hingga 64 tahun melaporkan kesan sampingan lebih kerap berbanding mereka yang berusia 65 tahun ke atas.


Dalam kedua-dua percubaan itu, kesan sampingan lebih kerap dilaporkan selepas suntikan kedua.


Sementara itu, di Singapura, doktor berkata, mereka merawat segelintir pesakit setiap minggu yang mengalami reaksi vaksin, di mana orang muda lebih cenderung mengalami kesan sampingan yang ketara.


Doktor keluarga di Mission Medical Clinic, Dr Leong Choon Kit berkata, beliau berjumpa sekitar satu pesakit setiap hari bagi reaksi vaksin, kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan pendidik yang berusia antara 20-an dan 30-an.


Katanya, beliau jarang berjumpa warga emas yang mengalami kesan serupa.


Kesan sampingan vaksin ketara jika sistem imun kuat

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/04/696766/kesan-sampingan-vaksin-ketara-jika-sistem-imun-kuat

18 Apr 2021

Ketua Pengarah Kesihatan gesa penerima vaksin Covid-19 patuh semua langkah kesihatan awam dan SOP

 

Seramai 40 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang selesai menjalani proses vaksinasi dengan menerima dua dos suntikan dikesan dijangkiti COVID-19.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sembilan kes dijangkiti dalam tempoh lebih dari dua minggu selepas dos kedua dan 31 kes lagi dijangkiti kurang dari dua minggu.


Beliau berkata, ia jelas menunjukkan langkah kesihatan awam termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dilaksanakan kerana COVID-19 masih boleh dijangkiti walaupun selepas melengkapkan vaksinasi, namun dengan gejala kurang serius.



"Seramai 142 kakitangan kesihatan pula dijangkiti selepas dos pertama, namun mereka yang dijangkiti itu mempunyai gejala kurang teruk," katanya di Facebook, di sini, hari ini.


Melalui perkongsian grafik di Facebooknya itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada 426 kakitangan kesihatan yang mengambil vaksin, 244 atau 57 peratus tidak dikesan dijangkiti COVID-19 selepas selesai program vaksinasi.


Pada masa sama, beliau berkata, mereka yang sudah menyelesaikan program vaksinasi tidak boleh mengambil ringan semua langkah kesihatan awam dan SOP.


"Meskipun vaksin memberikan sinar untuk kita melawan COVID-19, namun jangan kita membuat kesilapan dengan mengambil mudah langkah berjaga-jaga.


"Ini kerana tiada yang selamat sehingga semuanya selamat. Semua diminta untuk terus mematuhi langkah kesihatan awam 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran daripada KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).


"Selain itu, elakkan 3C iaitu jauhi kawasan sesak (crowded), kawasan sempit (confined) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat (close)," katanya.


Sementara itu, dalam muat naik di akaun Twitternya, Noor Hisham menjelaskan definisi vaksinasi lengkap adalah hanya selepas dua minggu seseorang itu menerima suntikan dos terakhir atau dos kedua.


Sehingga Khamis lalu, seramai 434,301 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, seramai 671,589 individu menerima dos pertama sehingga Khamis lalu, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara ini adalah 1,105,890.


40 kakitangan KKM dijangkiti COVID-19 selepas selesai vaksinasi

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/807772/40-kakitangan-kkm-dijangkiti-covid-19-selepas-selesai-vaksinasi

2 Apr 2021

Penerima dua dos Vaksin Covid-19 bebas rentas negeri dan ke luar negara guna sijil pengesahan

 

Rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh ke luar negara tertentu, dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat negara ini melakukan perjalanan ke negara terbabit.



Beliau berkata, sijil akan diberikan bagi membuktikan individu itu sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, sekali gus menjadi 'pasport' untuk mereka bergerak.


"Kita sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara untuk membenarkan sesiapa yang sudah mendapat dua dos suntikan merentas daerah, negeri atau ke sana ke sini, tanpa halangan pihak berkuasa.


"Malah dengan sijil itu juga, mereka boleh melakukan perjalanan ke Jepun, Shanghai, Hong Kong atau Jakarta," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shelly Sheliza Ahmad, peserta pada Sesi 'Townhall' Wawasan Kemakmuran Bersama, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.


Muhyiddin turut mengulangi nasihat kepada rakyat agar tidak bimbang untuk menerima suntikan vaksin itu.


Sebagai individu pertama di negara ini menerima vaksin, Muhyiddin berkata, beliau tidak mengalami sebarang kesan terhadap kesihatannya.


"Saya sama juga seperti Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg), kekal sihat dan cergas selepas menerima dua dos vaksin itu.


"Tiada apa yang perlu dibimbangkan, vaksin itu selamat dan dijamin melindungi kita," katanya.


Rakyat terima dua dos vaksin boleh rentas negeri, ke luar negara

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/802558/rakyat-terima-dua-dos-vaksin-boleh-rentas-negeri-ke-luar-negara

25 Mac 2021

Penerima vaksin Covid-19 terima suntikan di fasiliti kesihatan swasta tidak dikenakan sebarang caj

 

Penerima vaksin yang dijadualkan menerima suntikan di fasiliti kesihatan swasta tidak perlu membayar sebarang caj.


Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, caj itu sebaliknya akan ditanggung oleh kerajaan.


Katanya, penggunaan fasiliti kesihatan swasta terpakai kepada premis yang terbabit Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).



"Ini juga adalah intipati perjumpaan saya dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) nanti dan pengamal perubatan am juga sedang disenaraikan di bawah Protect Health Corp Sdn Bhd, Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya pada sidang media mingguan Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19, hari ini.


Hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu juga berkata, penerima vaksin akan dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdasarkan alamat yang mereka daftarkan untuk keperluan berkenaan.


"Jika alamat penerima berdekatan PPV di fasiliti kesihatan swasta, mereka akan dijadualkan mendapat vaksin di kemudahan berkenaan dan begitu juga sebaliknya," katanya yang memberitahu langkah itu bagi memudahkan pelaksanaan vaksinasi dalam masyarakat.


Terdahulu, Khairy berkata, beliau akan mengadakan libat urus bersama-sama APHM pada Rabu ini untuk membincangkan pembabitan hospital swasta dalam PICK.


Pada sidang media minggu lalu, Dr Adham dilapor berkata, pengamal perubatan swasta diberi peranan dalam pemberian vaksin Covid-19 fasa kedua dan ketiga PICK, pada April dan Mei ini.


Persetujuan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).


Penerima vaksin di fasiliti swasta tidak akan dicaj

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/684330/penerima-vaksin-di-fasiliti-swasta-tidak-akan-dicaj