Cristiano Ronaldo menjaringkan gol Liga Perdana Inggeris ke-100 dirinya ketika Manchester United tewas 3-1 kepada Arsenal di Stadium Emirates.
Jaringan Nuno Tavares dan Bukayo Saka meletakkan Arsenal di depan sebelum Ronaldo merapatkan jurang untuk kembali merancakkan permainan.
Ronaldo, pemain ke-33 mencapai kejayaan itu, tidak beraksi ketika United dibelasah Liverpool di Anfield kerana masih berkabung di atas kematian anak lelakinya yang baru lahir.
Ronaldo kini sudah meledak 100 gol atau lebih di empat entiti berbeza - 311 di La Liga, 140 di Liga Juara-Juara, 115 untuk Portugal dan terbaru 100 gol untuk United.
"100 gol Liga Perdana Inggeris untuk Cristiano (Ronaldo). Melakar pencapaian ini selepas minggu yang menyedihkan membuktikan kekuatan mental dan keazamannya. Menakjubkan," kata legenda England Gary Lineker.
Sementara itu bekas rakan sepasukan Ronaldo di United, Rio Ferdinand berkata: "Hanya itu yang difikirkannya semalam - cuba memenangi perlawanan dan pada masa sama menjaringkan gol dan memberi impak.
"Dan dia melakukannya. Ia jaringan hebat. Tindakan susulan yang hebat dan cukup tenang di bawah tekanan. Memang sukar untuk menjaringkan gol dengan kaki kirinya." - AGENSI
Ronaldo ledak gol ke-100 Liga Perdana Inggeris
Pautan : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2022/04/948958/ronaldo-ledak-gol-ke-100-liga-perdana-inggeris