• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label rasul. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rasul. Papar semua catatan

17 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Shu’aib ‘Alaihissalam

1) Nabi Shuaib tinggal di kota Madyan, di mana penduduknya sangat bijak dalam perniagaan. Disebabkan mereka ahli perniagaan, mereka sentiasa berfikir cara untuk mendapatkan keuntungan tanpa memikirkan soal undang-undang. Korupsi sana sini.

2) Kaum Madyan juga dikenali dengan kepercayaan mereka yang menyembah sebuah pokok yang digelar Al-Ayka. Oleh kerana penyembahan pokok ini, nama lain bagi kaum Madyan ialah kaum Ayka.

3) Kaum Madyan ini suka menipu dalam perniagaan. Antara contoh penipuan yang biasa dilakukan adalah mereka menipu timbangan - contohnya mereka mengenakan harga 3 kilo gandum tetapi menipu dengan hanya memberi 2 kilo sahaja. Mereka mencampurkan air ke dalam susu supaya menjadi banyak kemudian dijual susu tersebut. Mereka mengenakan cukai kepada setiap orang yang lalu atau singgah di kota mereka. Mereka memaksa kaum nabi Shuaib untuk ‘bend the rules’ dan ikut peraturan mereka dan banyak lagi.



4) Nabi Shuaib berusaha mengajak kaum Madyan kembali ke jalan Allah. Nabi Shuaib berkata, “Sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi seseorang sesuatu yang menjadi haknya. Dan jangan lah membuat kerosakan di muka bumi kerana Allah telah menjadikannya sebaik-baiknya.” - Rujuk al Quran (7:85). Dan jangan lah kamu duduk di setiap jalan dan mengugut atau menghalang orang daripada beriman kepada Allah, dan kamu mahu mereka untuk membengkokkan peraturan Allah untuk mengikut peraturan kamu pula. Ingatlah semasa bilangan kamu sedikit, Allah telah menggandakan bilangan kamu sehingga menjadi ramai.” (7:86)



5) Selepas nabi Shuaib mengajak mereka untuk kembali ke jalan Allah, baginda pula diajak untuk menyertai mereka membuat pelaburan kerana mereka boleh menjadikan nabi Shuaib kaya. Baginda berkata kepada mereka, “Walaupun hartaku tidak sebanyak kekayaan kamu namun harta yang aku ada ini halal. Jika kamu fikir kamu boleh membeli aku dengan kekayaan, kamu salah. Tujuanku hanyalah untuk berbuat sebanyak mungkin kebaikan.”

6) Nabi Shuaib terus-terusan berdakwah namun kaum Madyan membenci dengan tawaran nabi Shuaib yang mengajak mereka untuk berniaga secara jujur dan menggunakan harta untuk kebaikan. Mereka merasakan nabi Shuaib ini bagaikan menjaga tepi kain orang. Mereka mahu menikmati harta kekayaan itu ke arah kemaksiatan dan mereka percaya bahawa agama dengan perniagaan tidak ada kaitan. Mereka berkata, rugilah sesiapa yang ikut nabi Shuaib - Rujuk al Quran (7:90).

7) Nabi Shuaib berpesan kepada kaum Madyan untuk takut kepada hukuman Allah dan mengingatkan mereka tentang apa yang terjadi kepada kaum Ad, kaum Thamud dan paling dekat dengan mereka ketika itu, kaum Luth. Nabi Shuaib juga mengingatkan kembali bagaimana Allah telah menghancurkan mereka. Nabi Shuaib berkata, “Bertaubatlah sebelum terlambat! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih.” - Rujuk al Quran (11:90).

8 ) Kaum Madyan menjawab kepada nabi Shuaib, “Kami rasa kau sama sahaja seperti kami. Tidak kuat malah tiada yang istimewa pun. Kami tidak hormat pada kau. Jika bukan disebabkan keluarga dan pengikut kau, sudah lama kami rejam kau sehingga mati.” Nabi Shuaib mempunyai ramai pengikut. Jika mereka membunuh nabi Shuaib, pengikutnya akan memberontak dan perniagaan mereka akan lingkup. Kemudian mereka mencabar nabi Shuaib, “Jika kau benar nabi yang diutuskan Tuhan, minta sahaja Tuhan kau hukum kami!” Nabi Shuaib tidak boleh berbuat apa-apa kerana sama seperti kisah nabi-nabi sebelum ini, apabila sesebuah kaum itu mencabar kekuasaan Tuhan, maka sampai disitu sahaja. Oleh itu, nabi Shuaib pun berdoa, “Wahai Tuhan kami, hukumlah antara kami dan kaum kami dengan keadilan, kerana Engkau sebaik-baik Hakim.” - Rujuk al Quran (7:89).



9) Kemudian Allah menurunkan kemurkaan-Nya yang amat menyeksakan. Allah datangkan cuaca panas yang melemaskan. Kaum Madyan tidak dapat bernafas dalam kepanasan yang kurang udara itu. Mereka bagaikan mendidih akibat kepanasan yang amat sangat. Kemudian dalam kepanasan itu, Allah datangkan sebuah awan. Mereka berlari-lari ke bawah awan itu untuk berteduh namun mereka tidak tahu apa yang Allah akan turunkan daripada awan tersebut. Allah menurunkan bunyi Al-Saihah yang terlalu kuat seperti letupan sehingga menggoncang bumi di bawah awan tadi. Lalu matilah seluruh kaum Madyan dan jadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing. - Rujuk al Quran (11:94).

10) Sebelum itu, Allah telah menyelamatkan Nabi Shuaib dan pengikutnya. Apabila nabi Shuaib kembali ke Madyan dan melihat apa yang telah terjadi, baginda berkata, “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu).” - Rujuk al Quran (7:93).

11) Seperti kaum Ad, kaum Thamud dan kaum Luth, binasalah kaum Madyan akibat mencabar kemurkaan Allah. Betapa bijaknya kita rasa kita ini sehingga boleh memutar belit undang-undang namun ingatlah Allah itu jauh lebih bijaksana dan Allah sentiasa memerhati.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

16 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Ayub ‘Alaihissalam

1) Nabi Ayub lahir dari keturunan nabi Ishak dan isterinya, Rahma lahir dari keturunan nabi Yusuf. Ibu nabi Ayub pula lahir dari keturunan nabi Luth. Ini menunjukkan mereka semua adalah daripada keturunan nabi Ibrahim atau dipanggil ‘The House of Abraham’ oleh orang inggeris. Nabi Ayub dikurniakan dengan kekayaan, tubuh badan yang sihat, anak yang ramai, keimanan yang teguh dan baginda sangat dihormati oleh kaumnya. Apabila baginda berdakwah, semua orang akan berebut untuk mendengar bahkan semua orang mahu mendampinginya.


2) Ditakdirkan nabi Ayub ditimpa ujian Allah satu persatu. Pertama, Allah menarik kembali kekayaannya. Segala harta, rumah, haiwan ternakan, semuanya musnah dan hilang. Nabi Ayub jatuh miskin dengan sekelip mata. Kemudian Allah tarik semula zuriatnya. Nabi Ayub mempunyai ramai anak namun satu persatu anaknya mati di hadapan matanya sehingga tidak ada lagi anak yang hidup. Setiap kali anaknya meninggal, baginda cuma berkata, “Segalanya milik Allah dan setiap manusia akan pulang kepada-Nya.” Kemudian Allah tarik pula kesihatannya. Nabi Ayub jatuh sakit yang amat teruk sehinggakan tinggal lidah baginda sahaja yang boleh bergerak dan baginda menggunakan untuk memuji Allah. Organ dalamannya menjadi rosak dan baginda mendapat penyakit kulit yang merosakkan kulit di seluruh badannya sehingga rupanya susah untuk dikenali. Disebabkan penyakit kulitnya, orang ramai mula menjauhinya sehingga tidak ada lagi yang ingin mendampinginya. Nabi Ayub sangat penyabar. Walaupun satu persatu ujian datang melanda, hatinya tetap teguh beriman kepada Allah. Nabi Ayub tidak pernah merungut atau meminta Allah hilangkan kesengsaraannya, baginda sangat sabar dan menerima sahaja ketentuan Allah.



3) Nabi Ayub kehilangan segalanya kecuali satu iaitu isterinya. Rahma bersama-sama mengharungi segala ujian yang ditimpa suaminya dan menjaga suaminya ketika sakit. Dia menghabiskan hartanya untuk membeli ubat-ubatan dan makanan buat suaminya. Apabila duitnya juga telah habis, dia terpaksa mencari kerja. Semua orang tahu tentang penyakit nabi Ayub. Apabila Rahma pergi mencari kerja, mereka enggan menerimanya kerana takut berjangkit penyakit kulit nabi Ayub. Tidak ada sorang pun yang mahu mahu mengambil dia bekerja. Rahma sedih dan mengeluh kepada nabi Ayub. Dia bertanya, “Sampai bila kita mahu seperti ini?” Nabi Ayub bertanya, “Berapa lama telah aku hidup dalam kesenangan?” Rahma menjawab, “80 tahun.” Nabi Ayub bertanya lagi, “Dan berapa lama telah aku hidup dalam kesusahan?” Rahma menjawab, “7 tahun.” Kemudian Nabi Ayub membalas, “Maka bagaimana aku mahu mengeluh jika kesengsaraanku amat kecil berbanding kesenangan yang telah Allah berikan kepada aku? Aku berjanji, apabila aku sihat nanti aku akan merotanmu sebanyak 100 kali”. Nabi Ayub marah kerana isterinya mengeluh dengan ketentuan Allah.

4) Makin hari, Rahma menjadi semakin terdesak mencari duit. Dia perlukan duit untuk membeli makanan dan ubat untuk suaminya. Rahma membuat keputusan untuk memotong rambutnya yang panjang dan menjualnya. Maka daripada duit yang sikit itu dapatlah dia membeli makanan untuk suaminya. Apabila nabi Ayub bertanya dari mana dia mendapatkan duit, Rahma takut untuk memberitahu perkara sebenar kerana dia tahu suaminya akan marah. Maka Rahma mengatakan bahawa dia bekerja dan mendapat upah. Rambutnya adalah satu-satunya harta yang tinggal maka dia membotakkan sebahagian kepalanya sedikit demi sedikit dan menjual rambutnya. Nabi Ayub tidak sedar akan keadaan rambut isterinya kerana dia sentiasa menutupi kepalanya. Sehingga satu hari, Rahma terpaksa membotakkan seluruh kepalanya untuk membeli makanan buat suaminya. Kali ini, nabi Ayub bertegas untuk mengetahui dari mana Rahma mendapatkan duit kerana baginda tahu bahawa orang ramai enggan mengambilnya bekerja. Rahma membuka kain di kepalanya dan menunjukkan kepalanya yang sudah botak.


5) Selepas nabi Ayub melihat keadaan isterinya, akhirnya baginda berdoa kepada Allah untuk meminta pertolongan - Rujuk al Quran (21:83). Allah menurunkan wahyu kepada nabi Ayub yang terlantar sakit itu untuk menghentakkan kakinya ke tanah. Apabila nabi Ayub menghentak kakinya, keluar memancut air yang sejuk dari bawah tapak kakinya untuk nabi Ayub minum dan mandi - Rujuk al Quran (38:42). Selepas nabi Ayub meminum air yang sejuk itu, semua organ dalamannya kembali pulih dan kulitnya diganti dengan kulit yang baru. Kesihatannya kembali pulih, malah lebih sihat dari sebelumnya. Apabila Rahma pulang, nabi Ayub tiada di tempat biasa lalu dia mencari suaminya. Apabila nabi Ayub datang kepada isterinya, Rahma tidak mengenali rupa suaminya kerana sudah terlalu lama sakit sehingga dia lupa rupa asal suaminya. Dia pun bertanya kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu ada ternampak suaminya atau tidak. Nabi Ayub berkata, “Ini aku, Ayub, suamimu. Allah telah mengurniakan aku kesihatan.”

6) Allah telah menurunkan ujian ke atas nabi Ayub untuk menguji kesabaran dan keimanannya. Sebagai ganjaran, Allah mengurniakan kepada nabi Ayub zuriat dua kali ganda lebih ramai dari sebelumnya - Rujuk al Quran (38:43). Dan sebuah hadis ada menceritakan, ketika nabi Ayub sedang mandi, Allah menurunkan belalang emas dari syurga menghujani tempat mandinya. Nabi Ayub mengumpulkan belalang emas itu dan bersyukur ke atas kurniaan Allah.

7) Kegembiraan kembali keoada nabi Ayub. Namun baginda ada satu lagi perkara yang belum selesai. Baginda telah bernazar untuk merotan isterinya sebanyak 100 kali. Allah menurunkan wahyu kepada nabi Ayub untuk mengumpulkan 100 batang lalang dan merotan isterinya sebanyak satu kali, dan hutang nazarnya akan selesai - Rujuk al Quran (38:44). Maka nabi Ayub pun merotan Rahma sebanyak satu kali menggunakan 100 batang lalang. Sampai tahap itu Allah kasih dan bantu nabi Ayub.

8 ) Pengajaran yang boleh diambil adalah seteruk mana pun keadaan hidup kita, bersabarlah. Allah sedang menguji kita. Dan ganjaran untuk sabar itu sangatlah besar, hanya tunggu dan lihat.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

15 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Yaakub & Yusuf ‘Alaihissalam (Bahagian 2)

14) Bagi menutup aib keluarga, Al-Aziz memutuskan untuk memasukkan nabi Yusuf ke dalam penjara - Rujuk al-Quran (12:35). Nabi Yusuf berkongsi sel penjara bersama dua orang lagi banduan. Semasa dalam penjara, nabi Yusuf tidak putus beribadah dan berdoa kepada Allah dan setiap kali waktu makan, nabi Yusuf dapat mengagak dengan tepat makanan apa yang mereka akan dapat. Dua banduan tadi dapat merasakan sesuatu yang istimewa mengenai nabi Yusuf kerana baginda seorang yang beriman dan boleh mentafsir mimpi. Suatu hari, mereka menceritakan tentang mimpi mereka. Banduan pertama telah bermimpi memerah arak dan banduan kedua telah bermimpi beberapa burung mematuk roti dari atas kepalanya. Nabi Yusuf mentafsir, banduan pertama akan dibebaskan dan banduan kedua akan dijatuhi hukuman mati - Rujuk al-Quran (12:36). Dan benar, itulah yang terjadi ke atas mereka.

15) Apabila banduan pertama dibebaskan dan dibenarkan untuk kembali berkhidmat kepada raja Mesir, nabi Yusuf meminta dia berjanji untuk memberitahu raja Mesir tentangnya. Namun syaitan telah menyebabkan dia terlupa tentang nabi Yusuf selama 7 tahun - Rujuk al-Quran (12:42).


16) Tiba suatu masa, raja Mesir telah mengalami mimpi yang sangat aneh. Tiada tukang tilik atau penasihat yang dapat mentafsir mimpinya dan raja itu semakin runsing. Tiba-tiba bekas banduan tadi teringat akan nabi Yusuf, rakannya di penjara. Dia pergi berjumpa dengan nabi Yusuf di penjara untuk meminta bantuan.

17) Bekas banduan itu berkata, raja Mesir telah bermimpi 7 ekor lembu kurus memakan 7 ekor lembu gemuk, kemudian ada 7 batang gandum hijau segar dan 7 batang gandum kering. Nabi Yusuf berkata, “Mesir akan mengalami 7 tahun yang subur dengan tanaman. Makanlah dari hasilnya dengan berjimat dan simpanlah bekalan yang banyak untuk alami kemarau.” Bekas banduan tadi pun pulang ke istana dan sampaikan tafsiran mimpi tadi kepada raja Mesir. Raja Mesir sangat gembira dan kagum dengan tafsiran tersebut dan meminta supaya nabi Yusuf dibebaskan dan dibawa ke istana.



18) Nabi Yusuf menuntut keadilan ke atas dirinya dan raja Mesir pun memanggil Zulaikha datang mengadap. Zulaikha mengaku bersalah atas dakwaan terhadap nabi Yusuf. Baginda akhirnya terbukti tidak bersalah. Raja Mesir melihat ketelusan di dalam diri nabi Yusuf dan menawarkan baginda menjadi penasihat raja. Atas kebolehan yang dimilikinya dalam pengurusan kewangan, Yusuf minta kedudukan sebagai menteri kewangan.

19) 7 tahun kemarau pun tiba. Mesir satu-satunya negara yang mempunyai simpanan makanan yang mencukupi pada masa itu. Pada waktu yang sama, 10 orang abang nabi Yusuf telah merantau ke Mesir dari Palestin untuk membeli bekalan makanan. Nabi Yusuf sangat kenal dengan wajah abangnya namun mereka tidak mengenali nabi Yusuf.

20) Mereka mahu membeli gandum tetapi mahu membeli dengan kadar lebih daripada yang sepatutnya untuk adik mereka, Binyamin. Binyamin tidak ikut bersama kerana tidak mendapat kebenaran daripada bapa mereka. Nabi Yusuf telah menghalang pembelian gandum berlebihan tanpa bukti. Baginda meminta mereka kembali bersama adiknya sebagai bukti. Hal ini kerana jauh di sudut hati baginda ingin berjumpa dengan Binyamin kerana merindui adiknya itu.


21) 10 beradik tersebut pun pulang kepada nabi Yaakub dan memujuk bapanya untuk membenarkan Binyamin mengikut mereka. Nabi Yaakub yang masih menanti kepulangan nabi Yusuf sangat takut baginda akan kehilangan Binyamin pula. Selepas pujuk memujuk, akhirnya nabi Yaakub memberi kepada Binyamin. Baginda menasihatkan anak-anaknya untuk berpecah dan memasuki Mesir dari laluan berbeza [Rujuk al-Quran (12:67)] kerana anak-anak nabi Yaakub semuanya mempunyai rupa yang tampan. Jika mereka masuk bersama-sama, bimbang akan menarik perhatian orang ramai dan perkara tidak elok akan berlaku.

22) Apabila mereka kembali ke Mesir bersama Binyamin, nabi Yusuf menyambut mereka dengan sangat baik. Nabi Yusuf menjemput mereka makan dan bermalam di istananya. Baginda menyediakan 1 bilik untuk 2 orang dan mengajak Binyamin tidur di biliknya. Apabila tinggal nabi Yusuf dan Binyamin berdua, baginda memeluk rindu adiknya dan berkata, “Aku abangmu.”

23) Nabi Yusuf merancang untuk memberi pengajaran kepada abang-abangnya. Keesokan hari, sebelum 11 beradik itu pulang ke Palestin, nabi Yusuf memasukkan mangkuk penyukat diraja ke dalam beg Binyamin. Apabila pengawal istana memeriksa beg mereka, terjumpa alat penyukat tersebut. Abang-abang mereka berkata, “Tidak mustahil Binyamin mencuri kerana abangnya dahulu pun pernah mencuri.” Nabi Yusuf masih mengawal keadaan supaya tidak diketahui baginda adalah abang Binyamin. Kemudian, baginda memutuskan untuk tidak membenarkan Binyamin pulang kerana akan dihukum mencuri. Abang-abang mereka terus merayu keoada nabi Yusuf untuk melepaskan Binyamin kerana risaukan bapa mereka yang sudah tua itu akan menjadi lebih sedih. Mereka berkata, “Hukumlah kami tetapi jangan diambil adik kami.” Abang sulung mereka menyuruh yang lain pulang terlebih dahulu kerana tidak sanngup mengecewakan bapanya buat kali kedua. Maka 9 beradik itu pun pulang ke Palestin.

24) Apabila yang lain pulang tanpa abang dan adik, mereka menceritakan kepada bapanya bahawa Binyamin telah mencuri, nabi Yaakub yang sedang bersedih itu bertambah sedih. Baginda terlalu banyak menangis sehingga matanya menjadi putih dan buta. Baginda berkata, “Kini aku kehilangan 3 orang anak.” Anak-anaknya tidak puas hati kerana bapa mereka selalu teringatkan nabi Yusuf yang telah lama hilang itu. Nabi Yaakub percaya janji Allah itu pasti. Mimpi nabi Yusuf semasa baginda kecil belum menjadi kenyataan maka baginda masih menantikan nabi Yusuf untuk melihat mimpinya menjadi kenyataan. Nabi Yaakub meminta anak-anaknya berjanji untuk mengumpulkan semula kesemua adik beradik mereka.

25) Mereka pun pergi semula ke Mesir dengan barang-barang yang ada. Mereka dan abang sulungnya berjumpa dgn nabi Yusuf dan berkata, “Wahai Al-Aziz, ambillah harta kami yang tidak seberapa ini dan pulangkan adik kami.” Nabi Yusuf pun berkata, “Sekarang kamu merayu padaku? Kamu semua ingat apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya suatu ketika dahulu? Kamu telah memisahkan mereka.” Abang-abangnya terkejut dan bertanya, “Adakah kamu Yusuf?” Mereka melihat nabi Yusuf telah menjadi orang yang sangat berjaya, sebagai pembesar negara! Kemudian mereka meminta maaf atas kesalahan mereka yang lalu.

26) Nabi Yusuf berkata, “Aku tidak akan menyalahkan kamu hari ini. Semoga Allah mengampuni kamu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun.” - rujuk al Quran (12:92).

27) Selepas mereka menceritakan keadaan bapa mereka di rumah, nabi Yusuf berikan bajunya kepada abang-abangnya untuk disapukan ke muka bapa mereka. Kemudian baginda meminta mereka membawakan ibu bapanya ke Mesir. Mereka semua dijemput untuk tinggal bersama nabi Yusuf di Mesir.

28) Dalam perjalanan pulang ke Palestin, nabi Yaakub dapat merasakan bahawa nabi Yusuf sedang kembali kepadanya. Kaum nabi Yaakub mengatakan nabi Yaakub sangat obsesi kerana sering mengharapkan nabi Yusuf pulang. Apabila anak-anaknya pulang dan menyapukan baju nabi Yusuf ke muka nabi Yaakub, penglihatannya kembali pulih. Itulah mukjizat Allah. Kemudian mereka sekeluarga pun pergi ke Mesir semula.


29) Sampai di Mesir, nabi Yusuf menyambut keluarganya di istana. Baginda sangat gembira melihat kedua ibu bapanya yang sangat dirindui. Nabi Yusuf pada masa itu telah menjadi seorang yang berkuasa dalam negara, kaya-raya dan sangat rupawan. Baginda membawa ibu dan bapanya duduk di sebelahnya di atas takhta. Mereka semua sangat gembira. Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayah, inilah maksud mimpiku semasa aku kecil. Maha Pencipta sudah memakbulkan mimpiku!” Nabi Yusuf berdoa kepada Allah untuk mati dalam Islam dan digolongkan dalam golongan orang-orang yang benar.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

14 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Yaakub & Yusuf ‘Alaihissalam (Bahagian 1)

1) Allah menceritakan tentang kisah nabi Yaakub dan nabi Yusuf kepada nabi Muhammad dalam surah Yusuf.

2) Isteri pertama nabi Yaakub telah melahirkan 10 orang anak lelaki dan isteri keduanya melahirkan 2 lagi anak lelaki iaitu Yusuf dan Binyamin. Nabi Yaakub dikurniakan mukjizat boleh mentafsir mimpi. Satu-satunya anak yang mempunyai kebolehan mentafsir mimpi sepertinya ialah anak kesayangannya, nabi Yusuf. Nabi Yaakub tahu bahawa Yusuf akan menjadi seorang yang sangat istimewa maka dia memberi Yusuf lebih perhatian berbanding anak-anaknya yang lain.

3) Ketika Yusuf masih kecil, dia telah bermimpi matahari, bulan dan 11 bintang sujud kepadanya. Baginda bangun dan terus mencari bapanya. Dia tidak faham apakah maksud mimpi tersebut. Nabi Yaakub berpesan kepadanya, jangan menceritakan kepada abang-abangnya yang lain kerana khuatir mereka akan cemburu dan mengapa-apakan Yusuf. 10 orang abangnya memang telah lama cemburukan nabi Yusuf kerana Nabi Yaakub melebihkan nabi Yusuf - Rujuk al-Quran (12:8). Oleh kerana ketika itu Yusuf kecil lagi, baginda pun menceritakan kepada abang-abangnya tentang mimpinya. Mereka tertawakan nabi Yusuf dan pada masa yang sama semakin cemburukan nabi Yusuf. Oleh itu, mereka membuat perancangan untuk membunuh nabi Yusuf dan selepas itu bertaubat semula - Rujuk al-Quran (12:9)



4) Nabi Yaakub sentiasa mengawasi Yusuf dan tidak pernah melepaskan nabi Yusuf untuk bermain dengan abang-abangnya. Apabila abang-abangnya meminta izin untuk membawa Yusuf bermain bersama-sama, nabi Yaakub tidak mengizinkan kerana risau mereka akan leka dan serigala akan memakan nabi Yusuf. Abang-abangnya berjanji akan menjaga Yusuf kerana mereka sayangkan adik mereka itu. Nabi Yaakub pun memberi keizinan. Kemudian mereka membawa Yusuf ke suatu tempat yang jauh daripada bapa mereka.

5) Dalam perjalanan, mereka membuli dan menolak Yusuf. Sampai ke suatu tempat yang sesuai untuk membunuh adik mereka itu, salah seorang daripada mereka memberi idea untuk menghumbankan sahaja Yusuf ke dalam perigi yang berada di situ dan menutup perigi tersebut. Pasti akan ada orang yang lalu dan mengambil nabi Yusuf - Rujuk Quran (12:10). Oleh kerana mereka rasakan membunuh itu terlalu kejam, mereka pun bersetuju. Mereka membuka pakaian nabi Yusuf dan menolak baginda jatuh ke dalam perigi yang gelap itu. Kemudian mereka kotorkan baju Yusuf dengan cecair warna merah seakan darah.


6) 10 beradik itu pun pulang kepada bapa mereka sambil menangis dan berkata Yusuf sudah mati ditelan serigala. Alasannya, mereka terleka bermain dan berlari sehingga tidak sedar bahawa adik mereka telah hilang dimakan serigala. Kemudian mereka menunjukkan baju nabi Yusuf yang berlumuran darah kepada bapa mereka. Sebagai orang tua yang bijak pandai, nabi Yaakub tahu bahawa itu semua tidak benar. Jika benar serigala memakan anaknya, mengapa baju nabi Yusuf tidak berkoyak? Nabi Yaakub sangat kecewa dengan anak-anaknya dan baginda menjadi sangat sedih kerana kehilangan anak kesayangannya. Sedihnya berpanjangan sehingga berdekad lamanya.

7) Sementara itu, sekumpulan pengembara telah datang ke perigi tadi untuk mencari air. Apabila mereka menaikkan gayung, mereka mendapati bukanlah air tetapi seorang budak yang cantik rupanya. Mereka membawa budak itu dari Palestin ke Mesir dan menjualnya di pasar dengan harga yang murah.

8 ) Walaupun dijual dengan harga yang murah, dengan kuasa Allah, menteri kewangan Mesir yang bergelar Al-Aziz (org paling berkuasa selepas raja Mesir) telah ditakdirkan pergi ke pasar tersebut dan membeli nabi Yusuf untuk dijadikan hamba di istananya. Al-Aziz tidak ada anak dan apabila melihat nabi Yusuf, beliau teringin membelanya bersama isterinya di istana. Maka Yusuf membesar di istana menteri tersebut. Al-Aziz sayang dan percaya kepada nabi Yusuf seperti anaknya sendiri. Beliau telah mengajar nabi Yusuf ilmu pengurusan kewangan dan baginda diamanahkan untuk melakukan tugasan yang penting.

9) Apabila nabi Yusuf semakin dewasa, baginda menjadi seorang pemuda yang bijak, beriman dan yang paling menonjol, rupanya yang terlalu tampan. Sebuah hadis ada menceritakan nabi Muhammad telah bertemu dengan nabi Yusuf ketika Isra’ Mi’raj dan baginda menggambarkan kecantikan yang ada pada nabi Yusuf sebagai separuh kecantikan daripada seluruh dunia.


10) Satu hari, ketika Al-Aziz tiada di istana, isterinya yang cantik bernama Zulaikha telah memanggil Yusuf masuk ke sebuah bilik. Zulaikha mengunci semua pintu dan tingkap dalam bilik tersebut dan membuka pakaiannya kemudian memanggil nabi Yusuf merapatinya. Nabi Yusuf menolak dan berkata, “Aku berlindung kepada Allah, sesungguhnya Allah sedang melihat.” - Rujuk al-Quran (12:24). Zulaikha ditenggelami hawa nafsu dan mula mengejar nabi Yusuf. Bermulalah adegan kejar-mengejar di mana Zulaikha telah mengoyakkan bahagian belakang baju nabi Yusuf. Apabila Al-Aziz pulang ke istananya, beliau terdengar bunyi bising dari dalam bilik dan hamba-hamba di istana pun mula berkumpul. Beliau membuka pintu dan terlihatlah adegan kejar mengejar itu. Zulaikha terus menutup badannya dan menuduh Yusuf telah cuba memperkosanya dan baginda patut dipenjarakan - Rujuk al-Quran (12:25).

11) Nabi Yusuf berkata, “Tidak! Dia yang cuba menggodaku!” Kemudian salah seorang ahli keluarga Al-Aziz yang juga telah menyaksikan adegan kejar-mengejar tadi berkata, “Sekiranya baju Yusuf koyak di bahagian hadapan, Zulaikha berkata benar. Sekiranya baju Yusuf koyak di bahagian belakang, Zulaikha berbohong.” Dan didapati baju nabi Yusuf koyak di bahagian belakang - Rujuk al-Quran (12:27-28). Al-Aziz kecewa dengan isterinya namun tindakan yang diambil hanyalah dengan menyuruh Zulaikha bertaubat dan meminta Yusuf untuk melupakan apa yang telah terjadi dan memintanya untuk tidak menceritakan kepada sesiapa.

12) Khabar angin mengenai Zulaikha menodai hamba istana tersebar dengan pantas. Sebagai wanita yang berstatus tinggi, Zulaikha tidak boleh membiarkan orang lain bercerita mengenai dirinya. Dia menjemput wanita di seluruh kota Mesir untuk datang ke majlis makan di istananya. Mereka dihidangkan dengan buah-buahan dan pisau buah. Apabila para tetamu telah mula memotong buah, Zulaikha memanggil nabi Yusuf untuk datang mengadap. Apabila nabi Yusuf masuk ke dewan makan, mereka semua terpegun dengan ketampanan nabi Yusuf sehingga lupa segala yang sedang berlaku dan tidak sedar bahawa mereka sedang memotong jari mereka sendiri. Kemudian mereka berkata, “Ya Tuhan! Lelaki ini bukanlah manusia, dia seorang malaikat!” - Rujuk al-Quran (12:31).


13) Zulaikha terus mentertawakan tetamunya dan berkata, “Inilah orangnya yang telah membuat kamu semua mengutukku. Sekarang lihat diri kamu sendiri! Kamu juga tertarik dengannya. Ya, aku telah menodainya dan dia telah menolak. Sekiranya dia menolak ajakan aku lagi, akanku humbannya di dalam penjara.” - Rujuk al-Quran (12:32). Tetamunya tadi pun menyuruh nabi Yusuf untuk menerima Zulaikha. Yusuf berdoa, “Ya Allah, aku lebih sanggup dipenjarakan daripada melakukan maksiat seperti yang diajak wanita ini” - Rujuk al-Quran (12:33).

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

13 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Ishak ‘Alaihissalam

1) Nabi Ishak dilahirkan di Palestin dan dibesarkan oleh ibu bapanya, nabi Ibrahim dan Siti Sarah.


2) Kelahiran Nabi Ishak merupakan keajaiban Allah kerana baginda lahir ketika ibu bapanya sudah sangat tua (Nabi Ibrahim berusia 120 tahun dan Siti Sarah 90-an) dan Siti Sarah merupakan wanita yang tidak boleh melahirkan zuriat.




3) Ketika Allah menghantar tiga malaikat kepada nabi Ibrahim untuk menyampaikan bahawa mereka diutuskan untuk membinasakan kaum Luth, Allah menerangkan di dalam al-Quran bahawa Siti Sarah tertawa kerana akhirnya sesuatu akan berlaku kepada kaum Lut dan kemudian tiga malaikat tersebut turut menyampaikan berita gembira bahawa Siti Sarah sedang mengandungkan nabi Ishak. Ishak atau Isaac bermaksud “yang membawa gelak tawa” sempena gelak tawa Siti Sarah tadi.
4) Seperti nabi Ismail, nabi Ishak menjadi penyambung legasi bapa mereka dalam menyebarkan kebaikan melalui agama Islam. Nabi Ishak menyerahkan seluruh hidupnya sebagai seorang nabi yang memperjuangkan agama Allah.

5) Nabi Ismail melahirkan keturunan kacukan arab sehingga lahirnya nabi Muhammad. Manakala nabi Ishak pula melahirkan nabi Yaakub yang melahirkan 12 orang anak (termasuk nabi Yusuf) yang membentuk 12 bani Israel. Daripada bani Israel lahirlah kebanyakan nabi seperti nabi Musa, Isa, Harun, Daud dan Sulaiman.


6) Nabi Ishak wafat di Khaleel, Palestin seperti bapanya.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

12 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Ismail ‘Alaihissalam

1) Kebanyakan kisah mengenai nabi Ismail telah pun diceritakan di dalam kisah nabi Ibrahim (Bahagian 2). Kalian boleh rujuk semula kisah tersebut yang menceritakan bagaimana nabi Ismail dan ibunya ditinggalkan di tengah tanah tandus kemudian dibesarkan oleh kaum Jurhum, kemudian disembelih bapanya sebagai korban namun digantikan tempatnya dengan seekor kambing, dan seterusnya membantu bapanya membina Kaabah.

2) Nabi Ismail tinggal di Mekah di kalangan kaum Jurhum yang berbangsa Arab. Nabi Ismail bukan orang Arab tetapi baginda dibesarkan oleh orang Arab. Nabi Ismail sangat fasih berbahasa Arab dan baginda disenangi masyarakat setempat. Ketika dewasa, nabi Ismail berkahwin dengan seorang wanita dari kalangan kaum Jurhum.

3) Suatu hari, nabi Ibrahim datang ke Mekah untuk menziarahi anaknya nabi Ismail. Baginda pergi ke rumah nabi Ismail dan isteri nabi Ismail telah membuka pintu dan memberitahu suaminya tiada di rumah. Isterinya itu tidak mengenali siapa orang tua yang datang itu. Nabi Ibrahim bertanya kepada wanita itu bagaimana keadaan nabi Ismail dan kehidupan mereka sekeluarga. Isteri nabi Ismail pun menceritakan bahawa mereka hidup susah, nabi Ismail tidak memberi makan yang cukup dan mengadu pelbagai perkara tentang suaminya. Kemudian nabi Ibrahim berkata, “Baiklah, kirimkan salamku kepada nabi Ismail dan pesan kepadanya untuk menukar bendul pintu rumah.” Dan nabi Ibrahim pun pulang sebelum sempat isteri nabi Ismail tanya siapakah baginda.



4) Apabila nabi Ismail pulang ke rumah, baginda dapat merasakan bapanya ada datang ke rumahnya maka baginda bertanya kepada isterinya. Isterinya berkata, ya ada orang tua telah datang dan memesan untuk menukar bendul pintu rumah. Nabi Ismail pun berkata, “Ya itu bapaku. Dia telah memesan untuk menceraikan kamu. Biar aku hantar kau pulang kepada keluargamu.”

5) Kaum Jurhum sangat menghormati para nabi dan mereka percaya apabila nabi Ibrahim berpesan untuk melakukan sesuatu pasti ada sebab yang munasabah. Tidak lama selepas itu, mereka mengahwinkan nabi Ismail dengan seorang lagi wanita dari kaum Jurhum.

6) Nabi Ibrahim datang lagi ke Mekah untuk menziarahi anaknya. Kali ni isteri kedua nabi Ismail yang menyambut dan dia pun tidak mengenali bahawa itu adalah bapa mertuanya. Nabi Ibrahim bertanya soalan yang sama, bagaimana keadaan nabi Ismail dan bagaimana kehidupan mereka sekeluarga. Isteri nabi Ismail menjawab, semuanya baik-baik sahaja dan tiada keluhan seterusnya. Nabi Ibrahim berkata, “Kirimkan salamku kepada Ismail dan pesan kepadanya untuk kekalkan bendul pintu rumah yang sekarang.” Dan nabi Ibrahim pun pulang sebelum sempat isteri nabi Ismail bertanya siapakah baginda.


7) Apabila nabi Ismail pulang ke rumah, sekali lagi baginda dapat merasakan bahawa bapanya ada datang ke rumahnya maka baginda bertanya kepada isterinya. Isterinya berkata, “Ya ada orang tua telah datang dan memesan untuk kekalkan bendul pintu rumah yang sekarang”. Nabi Ismail pun berkata, “Ya itu bapaku. Dia telah memesan supaya jangan menceraikan kamu.”

8 ) Nabi Ismail dan isterinya melahirkan keturunan kacukan Arab yang berpanjangan sehingga lahirnya nabi Muhammad.

9) Pengajaran yang boleh diperoleh adalah seburuk mana pun pasangan kita, bersyukurlah dan jangan menceritakan keburukan mereka kepada orang lain.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

11 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Luth ‘Alaihissalam

1) Nabi Luth berasal daripada Babylon (Iraq) di tanah kelahiran bapa saudaranya nabi Ibrahim. Semasa dalam perjalanan nabi Ibrahim berhijrah bersama keluarganya dari Iraq ke Syria ke Palestin yang turut disertai oleh nabi Luth, Allah telah memerintahkan nabi Luth untuk pergi ke sebuah kota bernama Sodom utk menjalani misi yang paling mencabar iaitu berdakwah kepada orang-orang Sodom supaya bertaubat dan kembali ke jalan Allah.

2) Kota Sodom terletak di sempadan Jordan dan Palestin yang sekarang dikenali sebagai Laut Mati atau ‘The Dead Sea’. Pada masa itu, Laut Mati merupakan sebuah tanah rata dan Kota Sodom ini menjadi tumpuan para pengembara dan pedagang yang datang untuk berdagang. Kota tersebut pesat namun penuh dengan rasuah dan ketidakjujuran. Kemungkaran berlaku berleluasa sehinggakan Allah menggunakan perkataan-perkataan yg paling hina untuk menerangkan kaum Luth (penduduk Sodom) di dalam Al Quran.

3) Kaum ini melakukan segala jenis jenayah seperti merompak, membunuh, dan kaum Luth adalah kaum yang pertama sekali melalukan kegiatan homoseksual (perkataan ’sodomy’ berasal daripada nama kaum ini). Teruknya akhlak mereka ini sehingga mereka bangga dengan status LGBT dan melakukan maksiat songsang di khalayak ramai adalah normal bagi mereka.


4) Nabi Luth berhijrah dan menetap di Kota Sodom. Berkali-kali nabi Luth mengajak kaumnya untuk bertaubat dan kembali kepada fitrah. Namum kaum terkutuk ini benci dengan dakwah nabi Luth sehingga menyuruh baginda diam dan dilarang bercakap dengan sesiapa pun. Nabi Luth bersumpah kepada Allah bahawa baginda tidak terlibat dan tidak akan sama sekali terjebak dengan kegiatan kaumnya. Mereka terasa hina dengan sumpah nabi Luth itu seolah-olah baginda berlagak suci. Kemudian mereka mengugut nabi Luth. Jika baginda tidak berhenti berdakwah, mereka akan menghalau keluarga nabi Luth keluar dari kota Sodom.



5) Nabi Luth tidak menghiraukan ugutan kaumnya dan terus-terusan berdakwah. Nabi Luth berpesan, takutlah dengan hukuman Tuhan! Sehingga sampai satu masa kaum itu mencabar baginda, “Bawakan hukuman tuhanmu sekarang! Buktikan kepada kami!” Maka Allah pun menurunkan kemurkaannya. Allah menghantar tiga malaikatnya yang menyerupai tiga pemuda yang sangat tampan.

6) Selingan: Ketika tiga malaikat ini ke kota Sodom, mereka ke rumah nabi Ibrahim terlebih dahulu. Nabi Ibrahim tidak kenal siapakah tiga pemuda ini namun disebabkan baginda sangat menghormati tetamu, nabi Ibrahim menghidangkan makanan yang sedap-sedap daripada sapi yang disembelihnya. Apabila Nabi Ibrahim makan, tiga tetamunya tidak menyentuh makanan tersebut. Nabi Ibrahim mula berasa hairan. Kemudian mereka berkata, “Jangan takut, kami adalah malaikat yang dihantar oleh Allah”. Dan mereka menyampaikan berita gembira bahawa Siti Sarah, isteri nabi Ibrahim yang mandul, sedang mengandungkan anak kedua nabi Ibrahim iaitu nabi Ishak (anak pertamanya ialah nabi Ismail dari isteri keduanya Siti Hajar). Dan mereka juga memberitahu bahawa mereka akan ke Sodom untuk memusnahkan kaum Luth atas perintah Allah. Nabi Ibrahim resah kerana risaukan anak saudaranya, nabi Luth dan berdoa agar Allah menyelamatkan nabi Luth sekeluarga.

7) Dari jauh, anak perempuan nabi Luth ternampak tiga pemuda tampan tadi memasuki kota Sodom. Dia terus berlari pulang ke rumah dan memberitahu bapanya. Nabi Luth bertemu dengan tiga pemuda itu dan cuba memujuk mereka untuk patah balik semula namun ditolak. Oleh itu, Nabi Luth membawa mereka ke rumahnya secara sembunyi kerana bimbang kepada pemuda tampan tersebut dek kerana maksiat songsang sangat berleluasa pada ketika itu.


8 ) Isteri nabi Luth ialah seorang musyrik yang tidak percaya kepada dakwah suaminya. Apabila isteri baginda melihat tiga pemuda tersebut di rumahnya, dia memberitahu orang ramai untuk datang melihat. Kemudian para lelaki daripada kaum itu datang beramai-ramai dan mengetuk pintu rumah nabi Luth. Nabi Luth berkata, “Jangan kamu malukan aku di depan tetamuku!” Nabi Luth berkata “Berkahwinlah dengan anak-anak perempuanku!” Mereka menjawab, “Kau tahu kami tidak berminat dengan anak perempuanmu dan kau mengetahui apa yang kami mahukan” Rujuk Al Quran (11:79). Nabi Luth berkata lagi, “Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau mempunyai penyokong-penyokong yang kuat” rujuk Al Quran (11:80).

9) Kemudian tiga pemuda tadi berkata kepada nabi Luth bahawa mereka sebenarnya malaikat yang diutus Allah untuk membinasakan kaum Luth. Mereka menyuruh nabi Luth membawa keluarganya lari daripada kota itu pada waktu malam dan jangan seorang pun toleh ke belakang; kecuali isterinya. Rujuk Al Quran (11:81). Salah seorang malaikat tadi adalah Jibril. Jibril membuka pintu rumah nabi Luth dan sepantas angin memukul seluruh kaum Luth lalu mereka menjadi buta. Kemudian nabi Luth sekeluarga lari dari kota Sodom. Allah menurunkan tiga malapetaka kepada kaum nabi Luth.

10) Pertama: Keesokan paginya, datang bunyi kuat yang amat dahsyat yang dipanggil As-Saihah. Kuatnya bunyi itu sehingga bergegarnya tanah. Bunyi ini lah yang Allah turunkan untuk membinasakan kaum Thamud sebelum ini.

11) Kedua: Jibril kembali ke bentuk asalnya dan menggunakan hujung sayapnya, dia telah mengangkat seluruh kota Sodom ke langit dan menterbalikkannya dan ia jatuh ke bumi.

12) Ketiga: Kemudian Allah menurunkan batu-batu berapi menghujani kota Sodom - Rujuk Al Quran (11:82). Dan setiap batu itu bertanda nama setiap org kaum Luth yang akan ditimpanya - rujuk Al Quran (11:83).

13) Maka hilanglah sebuah lagi kaum dan kotanya sekali di bumi Allah, akibat mencabar kemurkaanNya. Allah kemudian menjadikan Laut Mati di tempat asal kota Sodom sebagai peringatan kepada manusia tentang apa yang telah terjadi kepada kaum Lut.


14) Nabi Luth pergi berjumpa bapa saudaranya, Nabi Ibrahim untuk menceritakan apa yang telah berlaku namun nabi Ibrahim telah pun mengetahuinya. Nabi Luth meneruskan hidupnya berdakwah kepada orang ramai supaya sentiasa beriman kepada Allah.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

10 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam (Bahagian 2)

1) Nabi Ibrahim dan Siti Sarah hidup bahagia, mereka mempunyai segalanya namun baginda masih belum mempunyai zuriat. Siti Sarah adalah seorang wanita yang tidak dapat melahirkan anak dan pada ketika itu Siti Sarah sudah tua. Nabi Ibrahim juga sudah berusia 85 tahun. Namun kerana kasihnya Siti Sarah pada suaminya, Siti Sarah menghadiahkan hambanya bernama Siti Hajar kepada nabi Ibrahim dan mengizinkan mereka berkahwin. Tidak lama kemudian, dengan izin Allah, Siti Hajar mengandung.

2) Hari yang ditunggu telah pun tiba dan Siti Hajar melahirkan anak lelaki yang bernama Ismail. Nabi Ibrahim sangat teruja dengan kelahiran anaknya.

3) Mimpi pertama: Allah perintahkan nabi Ibrahim utk membawa Siti Hajar dan anak yang baru lahir tadi ke sebuah tanah tandus di As-Sham, tinggalkan mereka di situ dan terus pulang kepada Siti Sarah, isteri pertamanya. Oleh kerana ini perintah Allah, nabi Ibrahim terus melakukannya tanpa mengeluh atau banyak tanya. Ini ujian Allah kepada nabi Ibrahim. Baginda sanggup melakukannya atas dasar perintah Allah.


4) Siti Hajar dan nabi Ismail ditinggalkan di tengah padang pasir yang tidak diketahui tempatnya. Apabila makanan telah habis, susu badannya kering. Nabi Ismail mula menangis dan Siti Hajar merasakan dia perlu lakukan sesuatu. Siti Hajar berlari-lari anak ke atas sebuah bukit bernama Safa untuk melihat dari atas jika ada orang yang lalu supaya dia dapat meminta bantuan. Kemudian berlari-lari anak ke sebuah lagi bukit bernama Marwa dan meninjau dari atas bukit itu pula. Diulang alik beberapa kali dari dua bukit tersebut. Tiba-tiba Siti Hajar terdengar satu bunyi daripada bawah. Siti Hajar berlari turun dari bukit ke arah anaknya. Bunyi tersebut adalah bunyi air yang sedang memancut keluar daripada tanah. Allah telah menurunkan bantuan kepada mereka.



5) Siti Hajar mengambil sedikit tanah basah dan bentukkan ia menjadi sebuah mangkuk kemudian ditadah air menggunakan mangkuk tersebut. Apabila sudah penuh, dia menyebut “Zam! Zam! Zam! Zam!” yg bermaksud, “Berhenti! Berhenti! Berhenti! Berhenti!” kerana air itu tidak berhenti memancut. Itulah air zam zam yang sehingga sekarang pun tidak berhenti keluar daripada tanah. Daripada air itu maka dapatlah Siti Hajar minum dan menghasilkan susu untuk nabi Ismail.

6) Di padang pasir, kebiasaannya pengembara nomad akan mencari burung kerana di mana ada burung di situ ada air. Orang Jurhum merupakan sebuah kaum yang sedang mengembara di situ dan daripada jauh mereka ternampak sekumpulan burung yang berterbangan di atas air zam zam tadi. Apabila mereka semakin mendekati, mereka ternampak ada seorang wanita dan seorang bayi. Mereka pun bertanya kepada Siti Hajar, “Bolehkah kami menetap di sini? Kerana di sini ada air, sebuah keajaiban di tengah padang tandus!” Siti Hajar melihat mereka ini sepertinya orang yang baik, maka diizinkan mereka menetap di situ dan minum dari air zam zam, dengan syarat perigi air zam zam menjadi hak dia dan anaknya. Maka bermulalah penempatan manusia di kawasan itu yang sekarang dikenali sebagai Mekah. Kaum Jurhum sangat sayang kepada nabi Ismail. Mereka membelanya dengan baik, mengajarnya bahasa Arab dan membesarkannya sebagai orang yang beriman.


7) Nabi Ibrahim selalu datang untuk melihat anaknya nabi Ismail. Nabi Ismail telah membesar dengan sempurna, sangat beriman kepada Allah dan nabi Ibrahim sangat sayang pada anaknya.

8 ) Mimpi kedua: Nabi Ibrahim berkata kepada nabi Ismail, “Aku telah mendapat mimpi. Allah telah memerintahku untuk menyembelihmu.” Tanpa berfikir panjang nabi Ismail terus berkata, “Ayah mesti lakukan. Ini perintah Allah.” Begitulah taatnya nabi Ismail kepada Allah. Lalu mereka menuju ke sebuah tempat yang tidak berapa jauh dari situ. Nabi Ismail yakin Allah tidak akan menyakitinya. Semasa dalam perjalanan, iblis muncul untuk menimbulkan ragu-ragu didalam hati nabi Ibrahim. Iblis berkata, “Betul ke kau nak bunuh anak kau ni?” Nabi Ibrahim campakkan batu ke arah Iblis itu. Iblis pergi kepada Ismail pula dan cuba menghasut, “Kau sanggup mati dibunuh bapa sendiri?” Ismail campakkan batu ke arah Iblis. Iblis pergi ke arah kedua-duanya dan cuba menghasut buat kali ketiga untuk menghentikan mereka daripada melaksanakan perintah Allah. Nabi Ibrahim dan nabi Ismail campakkan batu ke arah Iblis itu lagi. Inilah asal usul Jamratul Ula, Wusta & Aqabah dimana jemaah haji melontar batu.

9) Sampai di tempat yang dituju, nabi Ismail sedia berbaring untuk disembelih. Sebelum itu, baginda berpesan kepada bapanya, “Tunggu dahulu, terbalikkan aku supaya apabila mukaku menghadap ke tanah ayah tidak dapat melihat wajahku dan tajamkanlah pisau itu supaya ayah boleh melakukannya dengan cepat.” Nabi Ismail tidak mahu ayahnya melihat mukanya kerana bimbang timbul rasa simpati dan ragu untuk menjalankan perintah Allah.

10) Apabila disembelihnya nabi Ismail, pisaunya tidak terbenam. Dicuba dan cuba lagi. Rupanya setiap kali nabi Ibrahim cuba menyembelih, bilah pisau yang tajam itu terbalik ke atas. Bahkan pisau juga berpaling untuk melakukan sesuatu jika tidak diizinkan Allah. Kemudian Allah menggantikan tempat nabi Ismail dengan seekor kambing. Ini ujian Allah yang seterusnya keada nabi Ibrahim.

11) Mimpi ketiga: Allah perintahkan nabi Ibrahim dan Ismail utk membina Kaabah. Nabi Ibrahim dan Ismail mengumpulkan batu-batu dan mula membina sebuah bangunan berbentuk kotak. Nabi Ibrahim berdiri di atas sebuah batu dan nabi Ismail menghulurkan batu bata kepada bapanya.

12) Untuk batu yang terakhir, nabi Ibrahim meminta nabi Ismail untuk mencari batu paling paling cantik bagi melengkapi Kaabah namun tidak dijumpai batu yang sesuai. Tiba-tiba nabi Ibrahim datang kepada anaknya sambil membawa sebuah batu yang sangat cantik dan suci. Nabi Ibrahim berkata batu itu Allah telah turunkan kepadanya dari Jannah. Itulah batu Hajar Al-Aswad.


13) Setelah lengkapnya Kaabah, batu yang berada di bawah tapak kaki nabi Ibrahim menjadi lembut seketika menyebabkan tertinggalnya kesan tapak kaki nabi Ibrahim. Artifak batu tersebut adalah sebagai peringatan kepada manusia tentang peristiwa bersejarah ini. Rujuk Al Quran (2:12).

14) Kemudian Allah perintahkan nabi Ibrahim untuk melaungkan panggilan kepada seluruh umat manusia untuk datang menunaikan ibadah haji. Nabi Ibrahim lihat sekeliling, tidak ada orang. Disitu merupakan kawasan padang pasir. Siapa yang akan mendengar panggilannya? Nabi Ibrahim berkata kepada Allah, “Ya Allah suara ku tidak sampai.” Allah menyuruh nabi Ibrahim laksanakan sahaja perintah tersebut dan selebihnya berserah kepada Allah. Maka nabi Ibrahim pun melaungkan, “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kalian semua untuk melaksanakan haji ke baitullah ini, supaya kalian mendapat pahala ke syurga dan menyelamatkan kalian daripada seksa neraka”. Sehingga sekarang, tidak henti-henti manusia dari seluruh pelusuk dunia datang ke Mekah untuk mengerjakan haji.

15) Setelah beberapa ujian dan perintah Allah ke atas nabi Ibrahim, datangnya khabar gembira. Pada usia nabi Ibrahim 120 tahun dan isterinya Siti Sarah 90-an, tiga malaikat bertemu dengan nabi Ibrahim membawa berita gembira bahawa Siti Sarah mengandung anak lelaki iaitu nabi Ishak. Siti Sarah terkejut kerana mereka sudah sangat tua dan Siti Sarah seorang wanita yang tidak boleh melahirkan anak.

16) Berita gembira bersambung lagi, bukan itu sahaja, mereka akan hidup dalam masa yang cukup lama untuk melihat anak kepada nabi Ishak iaitu Yaakub. Allah menceritakan didalam Al Quran, nabi Ibrahim melahirkan keturunan para nabi iaitu Ishak, Yaakub, Ayub, Yusuf, Musa, Harun, Zakaria, Yahya, Isa, Ilyas, Ismail, Ilyasa, Yunus dan Luth. Nabi Muhammad juga daripada keturunan ini. Allah janjikan dua perkara yg akan kekal dalam keluarga nabi Ibrahim iaitu kenabian dan wahyu Allah.

17) Nabi Ibrahim disanjung sebagai nabi oleh pelbagai agama - Islam, Kristian, Yahudi. Semua menghormati ajaran nabi Ibrahim dan namanya disebut dalam semua kitab. Nabi Ibrahim mempunyai darjah kebesaran yang paling besar di kalangan nabi-nabi, selepas kewafatan nabi Muhammad. Impaknya wujud sehingga sekarang.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

9 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam (Bahagian 1)

1) Nabi Ibrahim berasal dari Babylon yang kini dikenali sebagai Iraq.

2) Bapa nabi Ibrahim seorang pembuat patung berhala. Dia cuba melatih nabi Ibrahim untuk mengambil alih perniagaan penjualan patung berhala sejak kecil. Namun nabi Ibrahim merupakan seorang kanak-kanak pintar. Sejak umur 7 tahun, baginda sudah mula menyoal pelbagai soalan mengenai tuhan. Dia melihat bapanya mengukir patung berhala kemudian melihat orang beli dan menyembah patung tersebut. Baginda menyoal bapanya, mengapa orang menyembah patung buatan tangan bapanya itu? Bapanya cuma menjawab, jangan persoalkan tradisi nenek moyang kita.

3) Suatu hari bapa nabi Ibrahim menyuruh baginda membawa beberapa patung berhala untuk dijual kepada orang ramai. Dalam perjalan tersebut, baginda melalui sebuah sungai. Nabi Ibrahim telah mencampakkan patung tersebut ke dalam sungai dan berkata, “Berenanglah! Kalau kau dewa yang hebat, selamatkan diri dan berenang!” Namun patung-patung tersebut terus tenggelam ke dasar sungai.

4) Sehari dalam setahun, kaum nabi Ibrahim akan menyambut sebuah perayaan di mana mereka akan berkumpul di tengah kota untuk menyembah berhala. Sedang orang ramai sibuk berpesta, nabi Ibrahim telah menghancurkan patung-patung berhala di tempat penyembahan dengan kapak. Baginda meninggalkan satu patung yang paling besar kemudian diletakkan kapak tadi pada tangan patung tersebut.
5) Apabila orang ramai sedar degan apa yang terjadi, ramai yang menganggap bahawa nabi Ibrahim yang melakukannya kerana baginda terkenal dengan pertanyaan mengenai dewa-dewa mereka. Bahkan Allah kurniakan kepada nabi Ibrahim kehebatan berdebat oleh itu baginda terkenal dengan perdebatan mengenai agama. Orang-orang musyrik bersemuka dengan baginda untuk menyoal siasat adakah benar baginda yang melakukannya.

6) Nabi Ibrahim menjawab, “Mengapa tanya aku? Tanya si besar itu kerana kapak ada pada tangannya, semestinya dia yang menghancurkan kawan-kawannya yang lain.” Mereka memjawab semula, “Kau ni bodoh ke? Itu kan patung, tidak mungkin ia boleh bercakap atau bergerak!” Nabi Ibrahim berkata, “Sekarang aku atau kau yang bodoh? Kau tahu patung itu tidak boleh bergerak, bercakap, makan atau minum, tidak boleh lindungi diri sendiri apabila ada yang cuba menghancurkannya, jadi mengapa kau sembah dia?” Dalam hati mereka terdetik ada benarnya juga apa yang diperkatakan. Namun disebabkan ego untuk mempertahankan tradisi nenek moyang, mereka bersetuju untuk bunuh nabi Ibrahim.

7) Mereka menyalakan unggun api yang sangat besar dan panas untuk membakar nabi Ibrahim. Mereka mengikat nabi Ibrahim pada pucuk pokok untuk dihumban masuk ke dalam api. Dahsyat bukan? Kemudian Jibril datang kepada nabi Ibrahim untuk menghulurkan bantuan. Nabi Ibrahim berserah kepada Allah dengan berkata, tiada siapa boleh memberi pertolongan kecuali Allah. Kemudian Allah perintahkan api tadi untuk menjadi sejuk dan nyaman untuk nabi Ibrahim. Rujuk Al Quran (21:69).

8 ) Nabi Ibrahim berjalan keluar daripada api tadi tanpa terbakar sedikit pun, yang terbakar cumalah tali yang mengikat badannya tadi. Semua orang terkejut dan terpaku, takut untuk melakukan apa-apa pada nabi Ibrahim dan dari situ bermulalah ramai diantara mereka yang menjadi pengikut baginda. Orang pertama yang menjadi pengikutnya ialah nabi Luth, anak saudara baginda yang masih kecil lagi ketika itu.


9) Raja Namrud, seorang raja dari negeri lain telah mendengar tentang nabi Ibrahim dan menghantar askarnya untuk membawa nabi Ibrahim datang menghadap. Raja Namrud adalah seorang raja yang kejam yang mengaku dirinya tuhan. Dia berdebat dengan nabi Ibrahim. “Kau kata tuhan boleh menyebabkan hidup dan mati, aku pun boleh buat.” Dia panggil 2 orang banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati. Dia bebaskan seorang dan seorang lagi dibunuh. “Nah! Aku dah menyebabkan hidup dan mati. Akulah tuhan!”

10) Nabi Ibrahim menjawab, “Tuhanku membuat matahari terbit dari timur dan tenggelam di barat. Kalau kau boleh terbitkan matahari dari barat aku akan menyembahmu.” Raja Namrud berasa egonya tercalar. Jika nabi Ibrahim adalah orang biasa, sudah lama baginda dibunuh. Oleh kerana semua orang tahu baginda tidak boleh dibahayakan, bakar sahaja tidak mati, jadi Raja Namrud agak takut dengan baginda dan telah menghalau baginda keluar daripada negara itu.

11) Nabi Luth, nabi Ibrahim dan isteri baginda Siti Sarah berhijrah ke As-Sham. Dalam perjalanan ke sana, mereka melalui sebuah tempat bernama Harran. Di sini orangnya memyembah bintang.

12) Nabi Ibrahim berpura-pura menyembah bintang dan apabila terbitnya matahari, bintang pun hilang. Nabi Ibrahim berpura-pura marah dengan berkata, “Tuhan mana boleh sekejap ada sekejap hilang!”. Kemudian baginda berpura-pura menyembah bulan dan selepas itu matahari pula. Sama sahaja, semua akan hilang apabila siang bertukar malam dan malam bertukar siang. Nabi Ibrahim berdakwah, sembahlah tuhan yang mencipta sekalian alam, yang mencipta siang dan malam, yang kekal abadi.

13) Mereka teruskan perjalanan ke negeri Sham. Sesampainya di Sham, Siti Sarah ditangkap oleh pengintip raja Sham untuk dijadikan gundik. Raja tersebut tidak boleh melihat perempuan cantik, pasti ditangkapnya dan dijadikan gundik istana. Siti Sarah merupakan perempuan tercantik yang pernah raja jumpa maka dia sangat teruja. Siti Sarah berdoa kepada Allah untuk perlindungan. Apabila raja tersebut meilhat Siti Sarah bersedih, dia turut bersedih. Oleh itu dia melepaskan Siti Sarah dan menghadiahkan seorang hamba perempuan bernama Siti Hajar.

14) Nabi Ibrahim dan Siti Sarah tinggal di Kota Sham bertahun lamanya sehingga tua. Perniagaan mereka semakin maju dan mereka hidup senang.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

8 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Saleh ‘Alaihissalam

1) Nabi Saleh berasal daripada Kaum Thamud yang hidup di Al-Hijr, Jordan. Gambar-gambar istana yang diukir daripada gunung batu yang suatu ketika dahulu pernah didiami kaum Thamud boleh dilihat melalui carian Google dengan kata kunci “Petra Jordan”.

2) Di dalam Al-Quran (15:82), surah Al-Hijr ayat 82, Allah menyebut tentang kaum Thamud, “Dan mereka memahat rumah-rumah dari gunung-gunung batu (yang didiami) dengan aman.” Hingga sekarang, gunung-gunung ini dengan ukirannya sekali masih kekal di atas bumi Jordan. Peninggalan ini adalah sebagai peringatan daripada Allah kepada kita semua tentang apa yang telah berlaku kepada kaum yang telah mengakibatkan kemurkaan Allah.

3) Kaum Thamud mempunyai kehebatan teknologi yang lebih maju daripada kaum Ad. Lihat sahaja kemampuan mereka mengukir gunung batu dan menjadikan gunung sebagai rumah. Mereka juga mempunyai kekuatan fizikal, saiz badan yang besar dan kekayaan seperti kaum Ad.

4) Nabi Saleh yang juga daripada kalangan kaum Thamud datang daripada sebuah keluarga yg kaya-raya dan dihormati oleh masyarakat Thamud. Mereka telah mempersiapkan nabi Saleh untuk menjadi pemimpin mereka.
5) Setelah apa yang berlaku ke atas kaum Ad, syaitan sekali lagi memanipulasi hati manusia dan berjaya menyesatkan kaum Thamud. Kaum Thamud bukan sahaja menyembah berhala, mereka juga menyembah manusia di kalangan mereka sendiri. Siapa paling kaya atau berkuasa disembah sebagai dewa.

6) Allah telah memilih Nabi Saleh sebagai nabi dan baginda pun mula berdakwah mengajak kaumnya supaya bertaqwa kepada Allah. Kaum Thamud terkejut dan berkata, “Kami telah berharap kepadamu untuk menjadi pemimpin kami dan kini kamu meminta kami berpaling dari ajaran nenek moyang kami?” Mereka mula menghina dan mencaci Nabi Saleh. Apabila nabi Saleh mula mempunyai pengikut, mereka menuduh nabi Saleh adalah ahli sihir.

7) Nabi Saleh mengajak kaum Thamud bertaubat jika tidak, mereka akan mendapat malapetaka seperti kaum Ad. Kaum Thamud berkata, “Malapetaka apakah yang kau katakan? Rumah kami gunung batu! Jika adanya angin taufan, rumah kami tidak akan terbang! Jika hujan ribut, rumah kami boleh melindungi! Jika berlakunua gempa bumi, rumah kami takkan runtuh!” Begitu bongkak mereka terhadal Nabi Saleh.

8 ) Kaum Thamud mencabar nabi Saleh untuk membuktikan kebenaran.


9) Mereka menyuruh nabi Saleh mengeluarkan seekor unta betina daripada sebuah batu besar. Bukan itu sahaja, unta itu mestilah bunting 10 bulan, berbulu lebat warna merah, boleh minum semua air di lembah, boleh menghasilkan susu untuk seluruh kota dan pelbagai lagi. Mereka menyebut perkara-perkara yang mustahil kerana mereka tidak mengambil serius, hanya sekadar melawak.

10) Nabi Saleh berkata, “Jika aku bawakan unta ini kalian akan percaya kepada tuhanku?” Mereka menjawab, “Ya.”

11) Tiba hari yang dijanjikan, seluruh kaum Thamud berkumpul di hadapan batu besar tadi. Nabi Saleh berdoa kepada Allah untuk turunkan petunjuk kemudian batu itu pun terbelah dua maka keluarlah seekor unta betina yang sgt besar berwarna merah dan sedang bunting.

12) Kaum Thamud terus terbahagi kepada 2 kumpulan. Sebahagian mengaku percaya kepada Allah dan sebahagian lagi menuduh nabi Saleh menggunakan ilmu sihir.

13) Nabi Saleh berkata kepada mereka, “Unta ini akan hidup di kalanganmu dan jangan kamu bunuh unta ini.” Jika dibunuh, Allah akan menghukum kaum Thamud.

14) Semakin hari semakin ramai yang menjadi pengikut nabi Saleh setelah melihat unta tersebut. Apabila unta itu melahirkan anaknya, orang yang beriman semakin beriman dan orang yang musyrik semakin membenci.

15) Suatu hari, golongan yang tidak percaya kepada nabi Saleh telah membunuh unta besar tersebut beserta anaknya. Mereka mencabar lagi, “Mana hukuman tuhanmu? Tunjukkan!”

16) Allah berkata kepada nabi Saleh, masa mereka akan tiba dalam 3 hari. Ketika itu, Allah sangat murka.

17) Hari pertama, muka kaum Thamud bertukar kuning. Hari kedua, muka mereka bertukar merah. Hari ketiga, muka mereka menjadi hitam. Ketika itu mereka semua menangis dan menjerit kerana mereka tahu sesuatu yang buruk akan berlaku.


18) Kemudian Allah datangkan gelombang bunyi yang teramat kuat. Dengan serta merta mereka semua mati. Inilah kaum seterusnya yang Allah pupuskan daripada muka bumi.

19) Nabi Saleh berpindah ke Palestin di Kota Ramla dan tinggal di situ sehingga hari kewafatannya.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

7 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Hud ‘Alaihissalam

1) Nabi Hud datang daripada kaum Ad, sebuah kaum yang tinggal di tempat bernama Ad yang suatu ketika dahulu terletak di antara Oman dan Yemen. Kini tempat dan seluruh kaum Ad tersebut telah pun tiada.

2) Kaum Ad badannya bersaiz sangat besar dan sangat tinggi bagaikan gergasi. Mereka mempunyai segala jenis kekuatan; kekuatan fizikal, kekayaan yang melampau, kuasa politik, peradaban yang paling maju, kebijaksanaan dan banyak lagi.


3) Mereka juga boleh hidup beribu tahun lamanya dan setiap daripada mereka dapat melahirkan ratusan anak. Mereka terkenal dengan rumah-rumah yang terlampau besar. Kayanya mereka ini sehingga mampu bina istana mewah di atas gunung-gunung hanya untuk bermegah-megahan bukan untuk dijadikan tempat tinggal. Dikatakan sehingga kiamat pun tidak akan ada istana sehebat istana yang dibina kaum Ad. Selain itu, kuatnya mereka sehingga mampu mencabut pokok dengan menggunakan tangan sahaja.

4) Allah sebut di dalam al-Quran, kaum Ad merupakan kumpulan manusia yang paling hebat pernah dicipta; tiada manusia yang pernah dicipta seperti kaum Ad sebelumnya.

5) Namun kaum Ad merupakan kaum pertama yang memperkenalkan penyembahan tuhan selain daripada Allah selepas zaman nabi Nuh. Mereka menyembah berhala.
6) Allah menghantar seorang nabi di kalangan mereka iaitu nabi Hud yang tidak putus-putus berdakwah kepada mereka untuk bertaqwa kepada Allah. Seperti kaum nabi Nuh, mereka menghina, mencaci dan memperlekehkan nabi Hud. Nabi Hud berdakwah lagi, “Ingatlah bahawa kamu adalah keturunan Nuh yg terselamat dari malapetaka, bertaqwalah kepada Allah!” Mereka lemparkan pelbagai tuduhan kepada nabi Hud. Mereka mengatakan baginda seorang yang gila, dirasuk hantu, penipu dan sebagainya.

7) Kaum Ad mencabar nabi Hud, “Di mana tanda-tanda tuhanmu? Tunjuklah! Kau kata tuhanmu akan menghukum kami, tunjukkanlah! Tiada siapa boleh menghukum kami kerana kami terlalu kuat.” Kaum Ad sangat bongkak. Kemudian mereka bertanya lagi, “Siapa yang lebih kuat daripada kami?”. Mereka lupa bahawa Allah jauh lebih kuat daripada mereka.

8 ) Nabi Hud mengangkat sumpah bahawa baginda tidak terlibat dengan kejahilan kaum Ad dan baginda percaya kepada Allah. Kemudian nabi Hud mencabar mereka pula, “Lawanlah aku! Kalau kau betul-betul kuat, lawanlah aku! Sesungguhnya aku berserah kepada Penciptaku.” Selepas mendengar cabaran nabi Hud itu, mereka tidak berbuat apa-apa seakan tergaman. Terdetik dalam hati mereka sekelumit rasa takut dan percaya.

9) Nabi Hud berdoa kepada Allah untuk tunjukkan kebenaran. Maka Allah turunkan musim kering di negeri Ad selama 3 tahun. Kaum Ad mula meminta-minta dari ‘tuhan’ mereka untuk menurunkan hujan.

10 ) Nabi Hud berdakwah lagi. Nabi Hud berpesan sekiranya mereka mahukan hujan, mereka perlu beristighfar dan bertaubat. Maha Pencipta akan mengurniakan hujan yang indah dan lebih banyak kekuatan kepada mereka. Namun kaum Ad tetap berdegil.

11) Kemudian datanglah langit hitam di atas mereka. Mereka sangat gembira kerana beranggapan langit tersebut sarat dengan air hujan. Namun yang turun adalah angin taufan yang tersangat kuat, sejuk dan bising, selama 7 malam 8 hari. Angin tersebut telah memusnahkan seluruh Ad dengan amat dahsyat. Hancurnya mereka dek angin taufan itu sehingga tiada sedikit pun yang tinggal. Begitulah kepupusan kaum Ad.

12) Pengajaran yang boleh didapati adalah sebelum Allah menghukum seseorang atau suatu kaum, Dia kurniaka pelbagai nikmat - harta, perempuan, kuasa, zuriat, kecantikan dan banyak lagi. Apabila kita leka dengan keseronokan nikmat dunia, Allah berkuasa untuk mengambil semuanya semula. Ingatlah segalanya adalah milik Allah dan kita seharusnya sentiasa bersyukur dengan nikmar yang diberikan.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama