Remaja bawah 18 tahun hanya dibenarkan bermain permainan video dalam talian selama sejam pada Jumaat, hari minggu dan cuti umum, kata pihak berkuasa permainan video di China.
Pihak Pentadbiran Akhbar dan Penerbitan memaklumkan kepada Xinhua, kebenaran itu diberikan bermula antara jam 8 malam hingga 9 malam.
Arahan itu juga diberikan kepada syarikat penyedia perkhidmatan permainan video untuk menghalang kanak-kanak bermain permainan video dalam tempoh itu.
Pemeriksaan terhadap syarikat permainan video juga akan ditingkatkan bagi memastikan pematuhan terhadap arahan baharu itu.
Sebelum ini, peraturan menetapkan kanak-kanak hanya dibenarkan bermain permainan video selama 90 minit sehari untuk hari biasa, manakala ketika hari cuti selama tiga jam.
Tindakan itu dibuat susulan keprihatinan terhadap ketagihan permainan video terhadap generasi muda.
Dalam artikel dikeluarkan Maklumat Ekonomi Harian mendakwa, ramai remaja kini ketagihan permainan video dalam talian sehingga memberi impak negatif kepada mereka.
Artikel itu juga menyebabkan penurunan harga saham beberapa syarikat utama permainan video dalam talian China.
Pada Julai, gergasi permainan video dalam talian China, Tencent menggunakan teknik pengesanan wajah untuk menghalang kanak-kanak bermain permainan video antara jam 10 malam hingga 8 pagi.
Tindakan itu dibuat bagi menghalang kanak-kanak menggunakan identiti individu dewasa untuk bermain permainan video.
Ia ternyata mengecewakan hampir 10 juta peminat permainan video di negara berkenaan.
Pihak berkuasa China mengambil serius ketagihan permainan video yang menjadi masalah kepada kebanyakan remaja. - AGENSI
China hadkan masa remaja main permainan video
Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/09/858388/china-hadkan-masa-remaja-main-permainan-video