• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label saran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label saran. Papar semua catatan

5 Ogo 2021

Kerajaan disaran beri subsidi kit ujian kendiri COVID-19

 

Kerajaan disaran memberi subsidi pembelian kit ujian kendiri COVID-19 kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan mereka yang memerlukan.


Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ketika ini harga kit ujian kendiri itu sekitar RM39.90 di pasaran yang agak membebankan, terutama bagi keluarga mempunyai ahli yang ramai yang perlu membuat ujian menggunakan kit berkenaan.



Katanya, penggunaan kit itu untuk mengesan COVID-19 amat praktikal kerana kurang berisiko berbanding melakukan ujian calitan di klinik atau makmal yang memerlukan seseorang itu keluar rumah.


"Bagaimanapun dengan harga sedemikian, ia agak membebankan terutama jika satu rumah itu mempunyai sehingga empat ahli keluarga yang perlu membuat ujian menggunakan kit berkenaan.


"Justeru, kerajaan perlu mencari inisiatif dengan memberikan subsidi untuk membantu golongan ini bagi memudahkan mereka mendapatkan kit kendiri itu," katanya kepada BH, hari ini.


Lam Thye berkata, cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan kit ujian kendiri itu dalam senarai barangan harga kawalan, perlu dilakukan segera.


Ketika ini, katanya, permintaan terhadap kit terbabit semakin meningkat dan beliau bimbang akan ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.


"Saya yakin harga kit ini boleh diturunkan lagi dan berharap Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan perbincangan dengan syarikat berkenaan dalam usaha mendapatkan harga yang lebih murah," katanya.


Kelmarin, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dipetik berkata, kementerian itu bercadang menyenaraikan kit ujian kendiri COVID-19 sebagai barangan harga terkawal berikutan harganya RM39.90, terlalu membebankan rakyat.


Katanya lagi, perbincangan dengan pelbagai agensi lain termasuk KKM akan dilakukan sebelum kit ujian kendiri itu disenaraikan sebagai barangan harga kawalan.


Sementara itu, Lam Thye meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan segera insentif kepada mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.


Katanya, insentif itu bagi menceriakan mereka yang berjaya membantu kerajaan dalam usaha mencapai komuniti kelompok.


"Kerajaan diharap mula benarkan individu sedemikian makan di restoran atau kedai makan, menonton wayang di pawagam atau benarkan untuk rentas daerah dan negeri. Semua aktiviti itu, jika dibenarkan, tidak boleh mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.


Beliau berkata, dengan kadar vaksinasi yang semakin tinggi setiap hari ketika ini, sudah pasti ramai yang sudah menerima suntikan dan berharap insentif segera daripada kerajaan.


Syor subsidi beli kit ujian kendiri COVID-19 untuk B40

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/847451/syor-subsidi-beli-kit-ujian-kendiri-covid-19-untuk-b40

13 Jun 2021

Kerajaan disaran pertimbang pemberian vaksin kepada pembantu rumah warga asing

 

Kerajaan disaran mempertimbangkan pemberian vaksin kepada pembantu rumah warga asing dalam pelaksanaan fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam, berkata cadangan itu bukan berniat membelakangkan rakyat Malaysia dalam usaha vaksinasi.



Namun, katanya, kebanyakan golongan itu tinggal bersama majikan masing-masing, sekali gus berisiko mengakibatkan jangkitan COVID-19 kepada seluruh isi rumah.


Tambahan pula, beliau berkata, pembantu rumah bukan hanya menjalankan kerja rutin seperti memasak, malah turut menjadi pengasuh kepada anak majikan.


"Selain itu, ada yang menjaga orang tua dan orang sakit terlantar seperti diarahkan oleh majikan.


"Justeru, saya berpendapat mereka perlu dipertimbangkan untuk senarai penerima vaksin pada fasa ketiga program imunisasi," katanya dalam satu kenyataan.


Mengulas lanjut, Manickam berkata, beliau akan membawa cadangan itu kepada pengetahuan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, supaya dapat dibentangkan kepada Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Kerajaan disaran pertimbang vaksinasi amah asing

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/826960/kerajaan-disaran-pertimbang-vaksinasi-amah-asing

16 Mei 2021

KKM saran tidak ambil Ivermectin untuk rawat dan cegah Covid-19

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil produk Ivermectin untuk tujuan rawatan dan pencegahan Covid-19.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hal ini berikutan tiada data klinikal bagi membuktikan keberkesanan penggunaannya dalam rawatan dan pencegahan Covid-19.



Menurutnya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan bahawa setakat ini tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.


"Untuk makluman, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) belum pernah meluluskan indikasi Ivermectin bagi tujuan rawatan ataupun sebagai pencegahan Covid-19.


"Perkara ini dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent Covid-19 bertarikh 3 Mei 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, selain itu, European Medicines Agency (EMA) juga mengambil pendekatan yang sama iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 susulan tiada data klinikal yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk itu dalam merawat atau mencegah Covid-19 sebagaimana kandungan artikel yang bertajuk EMA Advises Against Use of Ivermectin for the Prevention or Treatment of Covid-19 Outside Randomised Clinical Trials pada 22 Mac 2021.


"Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 dalam kajian/percubaan klinikal sahaja berdasarkan penjelasan dalam artikel yang bertajuk WHO Advises That Ivermectin Only Be Used to Treat Covid-19 Within Clinical Trials pada 31 Mac lalu.


"Oleh itu, memandangkan penularan wabak Covid-19 semakin meningkat di Malaysia, KKM tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal sahaja di Malaysia," katanya.


Beliau berkata, KKM sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dalam mengharungi pandemik Covid-19 dengan memberikan perhatian penuh kepada rawatan dan pencegahan Covid-19 yang diluluskan untuk kegunaan rakyat di negara ini.


"Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) adalah langkah yang paling efektif pada masa ini untuk mengawal penularan wabak Covid-19 di Malaysia," katanya.


KKM nasihatkan orang ramai usah ambil Ivermectin bagi rawatan Covid-19

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/706604/kkm-nasihatkan-orang-ramai-usah-ambil-ivermectin-bagi-rawatan-covid-19