• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label sedia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sedia. Papar semua catatan

21 Jun 2021

Israel bersedia jalin hubungan dengan tiga negara Islam di Asia Tenggara

 

Israel bersedia menjalin hubungan dengan tiga negara Islam di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Brunei, lapor akhbar The Jerusalem Post.


Duta Israel ke Singapura, Sagi Karni, dalam temu bual dengan akhbar berkenaan, berkata peluang itu akan membolehkan regim Yahudi memperbetulkan banyak salah faham berhubung konflik Israel-Palestin.


Tiga negara dengan majoriti penduduk beragama Islam di Asia Tenggara itu mengecam serangan 11 hari Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 250 warga Palestin bulan lalu.



Malaysia, Indonesia dan Brunei turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan bagi menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk Palestin.


Selama ini, tiga negara terbabit tidak mempunyai apa-apa pertalian rasmi dengan Israel dan berulang kali meminta penjajahan ke atas wilayah Palestin di Tebing Barat ditamatkan.


Karni berkata kritikan pemimpin tiga negara itu 'tidak jujur' dan tidak berasaskan keadaan sebenar konflik yang beliau sifatkan sebagai konfrontasi antara Israel dengan Hamas dan bukannya Israel terhadap semua warga Palestin.


"Hamas adalah sebuah pertubuhan anti-Yahudi dan saya tidak tahu berapa ramai individu di media sosial yang benar-benar faham betapa radikal dan fasisnya Hamas," katanya.


Beliau berkata, satu-satunya cara untuk mempunyai pengaruh besar ke atas apa yang berlaku di Asia Barat adalah dengan mewujudkan hubungan dengan Israel.


"Kami bersedia untuk berbincang dan bertemu, saya tidak fikir pemimpin negara terbabit sukar untuk menghubungi kami," katanya.


Israel mempunyai kedutaan di negara lain di Asia seperti Vietnam, Thailand, Myanmar dan Filipina.


Empat negara Arab iaitu Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi bersetuju menjalin hubungan diplomatik dengan Israel di bawah perjanjian yang dikelolakan Amerika Syarikat (AS). - AGENSI


Israel mahu jalin hubungan dengan Malaysia, Indonesia, Brunei

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/06/830096/israel-mahu-jalin-hubungan-dengan-malaysia-indonesia-brunei

23 Mei 2021

Institusi perbankan terus sedia pelan bantuan bayaran balik pinjaman bagi pelanggan terkesan


Institusi perbankan di negara ini masih menyediakan pelan bantuan bayaran balik pinjaman bagi membantu pelanggan yang terkesan dengan penularan COVID-19.


Ia juga termasuk moratorium pinjaman yang diberikan kepada peminjam yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan, demikian kata Bank Negara Malaysia (BNM).



Justeru, bank pusat menasihatkan peminjam yang menghadapi kesukaran dalam membayar balik pinjaman mereka supaya menghubungi bank masing-masing untuk berbincang dan mendapatkan pakej bantuan yang bersesuaian dengan keadaan kewangan mereka.


Ia berkata, sehingga 26 Mac 2021, institusi perbankan memproses 1.6 juta permohonan bantuan bayaran balik pinjaman, dengan kadar kelulusan 95 peratus.


"Untuk makluman, rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam tidak akan terjejas dengan bantuan yang diperoleh sepanjang tahun ini.


"Oleh itu, bagi peminjam yang menghadapi kesukaran, tidak perlu khuatir dan boleh terus menghubungi bank untuk berbincang mengenai pilihan yang dapat membantu mereka menguruskan hutang," kata BNM kepada BH.


Bank pusat itu berkata demikian bagi mengulas cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) yang meminta kerajaan mempertimbangkan moratorium secara bersasar selama 12 bulan mengikut kriteria ditetapkan.


Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman dilaporkan berkata, moratorium itu perlu terhad kepada nilai pinjaman untuk kenderaan berharga RM150,000 ke bawah, nilai hartanah bernilai RM1.5 juta ke bawah dan semua pinjaman bawah RM100,000 tanpa kenaikan kadar faedah.


Beliau berkata, moratorium itu perlu dibuat jika kerajaan tidak dapat melaksanakan moratorium enam bulan bermula Jun sehingga September 2021 membabitkan semua jenis pinjaman perbankan, peminjam wang berlesen, pinjaman kredit termasuk kad kredit.


Sementara itu, BNM berkata, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan pihaknya juga membantu ramai peminjam menguruskan hutang mereka serta membuat tindakan susulan dengan bank peminjam.


Ia berkata, peminjam juga boleh mendapatkan khidmat nasihat atau bantuan lanjut melalui pelbagai saluran yang disediakan, termasuk BNMTELELINK di talian 1300-88-5465 dan AKPK di talian 03-2616 7766.


Dalam pada itu, bank utama di negara ini, Maybank dan CIMB Group baru-baru ini mengesahkan komitmen mereka dengan menyediakan bantuan pembayaran balik pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu yang terkesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.


Sementara itu, Moody's Investors Service dalam laporan analisisnya berkata, bank di Malaysia mempunyai kecairan yang kukuh dengan nisbah liputan kecairan sebanyak 147 peratus setakat Februari 2021, kekal tinggi melebihi keperluan minimum 100 peratus.


Katanya, bank di Malaysia dengan unjuran stabil A3 menerima manfaat daripada ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing dengan sumber asli yang banyak.


Bank terus tawar bantuan bayar balik pinjaman

Pautan : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/05/819793/bank-terus-tawar-bantuan-bayar-balik-pinjaman

12 Mei 2021

Teleskop gergasi James Webb Space sedia dilancarkan menerusi roket Ariane 5 hujung Oktober


Teleskop ruang angkasa terbesar dan terhebat di dunia membuka cermin emas gergasi buat kali terakhir di bumi semalam, sebelum balai cerap bernilai AS$10 bilion (RM41.24 bilion) dilancarkan akhir tahun ini.


NASA berkata, cermin Teleskop James Webb Space berukuran 6.5 meter (m) mengembang sepenuhnya dan terkunci pada tempatnya, ujian terakhir bagi memastikan ia bertahan dalam perjalanan 1.6 juta kilometer (km) dan sedia untuk mengetahui asal-usul semesta.




Kontraktor utama Northrop Grumman, Scott Willoughby, berkata ia seperti membuat jam tangan Swiss setinggi 12.2 m dan menyediakannya bagi perjalanan memasuki ruang vakum pada suhu -240 celsius (°C), empat kali lebih jauh dari bulan.


Beliau bercakap di lapangan terbang syarikat itu di Pantai Redondo, California, lokasi teleskop itu akan dihantar ke Guiana Perancis untuk dilancarkan menerusi roket Ariane 5 yang dijadualkan NASA, pada 31 Oktober depan.


Cermin utama Webb dibuat daripada 18 segmen heksagon, bersalut lapisan emas sangat nipis bagi meningkatkan pantulan cahaya inframerah.


Ia dilipat seperti origami ketika dilancarkan bagi memastikan muat di dalam reraut roket 5m, sebelum menggunakan 132 penggerak dan motor untuk membengkokkan setiap cermin ke kedudukan tertentu.


Cermin itu akan berfungsi sebagai pemantul besar, membolehkan teleskop melihat lebih jauh ke dalam kosmos berbanding sebelum ini. - AFP