Hobi pelik seorang lelaki yang gemar 'skodeng' rakan sekerja menggunakan kamera intip (spycam) mengundang padah apabila dia ditahan polis, kelmarin.
Lelaki berusia 41 tahun itu meletakkan kamera intip di bawah sinki dalam tandas wanita di kilang tempatnya bekerja di Taman Perindustrian Selayang, Batu Caves, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, perkara itu disedari seorang wanita yang juga pekerja di kilang terbabit selepas melihat satu objek berbentuk pen di bawah sinki berkenaan.
"Wanita itu kemudian mengambilnya dan membawa pulang ke rumah serta memeriksa pen terbabit sebelum mendapati terdapat beberapa rakaman video menunjukkan kemaluan dan mukanya serta beberapa rakan sekerjanya yang lain.
"Dia mengesyaki pen berkenaan adalah milik seorang pekerja dikenali kerana terdapat paparan muka suspek di dalam video itu ketika sedang meletak dan mengambil kamera intip," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Arifai berkata, wanita berkenaan kemudian memaklumkan kejadian itu kepada majikannya sebelum membuat laporan polis.
Beliau berkata, susulan laporan polis diterima, sepasukan polis menahan suspek yang bekerja di kilang berkenaan.
"Siasatan mendapati, suspek bertindak berseorangan meletakkan kamera di bawah sinki dalam tandas perempuan di kilang berkenaan bagi tujuan rakaman video untuk kepuasan diri dan berbuat demikian sejak awal Mac lalu.
"Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.
'Skodeng' rakan sekerja dalam tandas sejak awal Mac
Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/689028/skodeng-rakan-sekerja-dalam-tandas-sejak-awal-mac