• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label sistem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sistem. Papar semua catatan

27 Jun 2021

Tesla panggil semula 285,000 buah kenderaan kerana masalah sistem pengawalan pemanduan

 

Pengeluar kenderaan eletrik, Tesla memanggil semula lebih 285,000 unit kenderaannya dari pasaran China selepas siasatan mendapati terdapat isu pada perisian bantuan pemanduan yang boleh menyebabkan kemalangan.


Tesla akan menghubungi pemilik kenderaan untuk menaik taraf perisian berkenaan, kata Pihak Berkuasa Pentadbiran Pasaran (SAMR) dalam satu notis.



Katanya, isu berkenaan menjejaskan beberapa unit kenderaan yang dihasilkan secara tempatan dan di pasaran luar membabitkan Model 3 dan Model Y.


"Usaha untuk memanggil semula unit yang terjejas sudah difailkan dan ia akan bermula hari ini," katanya.


Arahan berkenaan secara tidak langsung memburukkan jenama itu yang ketika ini berdepan masalah di China kerana terdapat beberapa kenderaan Tesla terbabit dalam kemalangan maut kebelakangan ini.


"Berikutan masalah berkaitan sistem pengawalan pemanduan, pemandu dengan tidak sengaja boleh mengaktifkan fungsi kawalan peluncuran.


"Kelajuan kenderaan juga akan meningkat mendadak yang seterusnya menyebabkan kemalangan," kata agensi kerajaan China itu dalam satu notis.


Pengeluar kenderaan itu juga menjadi sasaran banyak rungutan media sosial dari pengguna China berkaitan masalah kualiti dan perkhidmatan, yang menyebabkan tercetusnya protes pelanggan berprofil tinggi di Shanghai Auto Show pada April lalu.


Fungsi kawalan peluncuran, yang 'sepadan dengan kelajuan kereta lain dalam keadaan trafik sama' adalah bahagian penting dari fungsi Autopilot, menurut laman web pengeluar.


Tesla sangat terkenal di China di mana satu daripada empat kenderaan elektrik yang dijual adalah dari jenama Tesla.


Bulan lalu, firma itu mengumumkan bahawa ia akan mendirikan pusat data di China, namun ia mengundang reaksi kurang senang pengguna kerana bimbang data mereka diserahkan ke Amerika Syarikat.

19 Apr 2021

Penerima punyai sistem imun badan kuat alami kesan sampingan vaksin Covid-19 lebih ketara

 

Orang muda dan wanita dilaporkan mungkin berdepan kesan sampingan lebih ketara selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19 kerana mempunyai sistem imun lebih kuat.


Kesan sampingan yang biasa dialami termasuk sengal-sengal pada tangan, demam, pening dan keletihan.


Namun, ia tidak bermakna vaksin Covid-19 kurang berkesan pada mereka yang tidak mengalami kesan sampingan berkenaan, menurut pakar.



Penolong Profesor Hsu Li Yang, naib dekan kesihatan global di Sekolah Kesihatan Awam Universiti Nasional Singapura (NUS), Saw Swee Hock berkata, kesan sampingan yang sering dialami seperti sakit lengan, sengal-sengal pada otot, demam, pening kepala dan keletihan adalah hasil kereaktifan, manifestasi fizikal sistem imun yang bertindak balas terhadap vaksinasi.


"Tiada kaitan secara langsung antara ketiadaan atau kehadiran kesan sampingan reaktifogenik dengan keberkesanan vaksin.


"Jadi, mereka yang tidak mempunyai kesan sampingan juga masih dilindungi oleh vaksin itu," katanya seperti dilaporkan Berita Harian Singapura.


Sementara itu, pakar penyakit berjangkit di Hospital Gleneagles, Dr Ling Li Min berkata, kesan sampingan seperti demam dan sengal-sengal adalah tanda baik bahawa tindak balas imun berfungsi.


"Namun, keberkesanan vaksin pada orang tua belum dapat dikaji dengan baik setakat ini.


"Secara teori, ini bermakna vaksin kurang berkesan pada orang yang lebih tua kerana kekurangan sel T yang ada dalam tubuh mereka untuk bertindak balas terhadap vaksin," katanya.


Sel T adalah sejenis sel darah putih yang bekerjasama dengan antibodi untuk menghapuskan virus Sars-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19, lapor The Straits Times.


Katanya, ia tidak bermakna warga tua tidak perlu mendapatkan vaksin, sebaliknya patut mendapatkan perlindungan dengan vaksin.


"Disebabkan sistem imun mereka yang semakin menua, (warga tua) mempunyai kemungkinan lebih tinggi mengalami simptom teruk, dimasukkan ke unit jagaan rapi atau mati jika dijangkiti," katanya.


Menurutnya, kajian di Britain menunjukkan bahawa bagi mereka yang berusia 80 tahun ke atas, vaksin Pfizer mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 86 peratus dalam mencegah jangkitan simptomatik Covid-19 lebih 14 hari selepas dos kedua.


Dalam percubaan Pfizer, mereka yang berusia antara 18 dengan 55 tahun melaporkan mengalami kesan sampingan seperti demam, keletihan, sakit kepala dan sakit di bekas tempat suntikan lebih kerap berbanding mereka yang berusia 56 tahun ke atas.


Vaksin Moderna juga menunjukkan trend serupa dengan mereka berusia 18 hingga 64 tahun melaporkan kesan sampingan lebih kerap berbanding mereka yang berusia 65 tahun ke atas.


Dalam kedua-dua percubaan itu, kesan sampingan lebih kerap dilaporkan selepas suntikan kedua.


Sementara itu, di Singapura, doktor berkata, mereka merawat segelintir pesakit setiap minggu yang mengalami reaksi vaksin, di mana orang muda lebih cenderung mengalami kesan sampingan yang ketara.


Doktor keluarga di Mission Medical Clinic, Dr Leong Choon Kit berkata, beliau berjumpa sekitar satu pesakit setiap hari bagi reaksi vaksin, kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan pendidik yang berusia antara 20-an dan 30-an.


Katanya, beliau jarang berjumpa warga emas yang mengalami kesan serupa.


Kesan sampingan vaksin ketara jika sistem imun kuat

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/04/696766/kesan-sampingan-vaksin-ketara-jika-sistem-imun-kuat