• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label temu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label temu. Papar semua catatan

28 Mei 2021

Cadangan kompaun dan penalti individu gagal hadir janji temu vaksin Covid-19 akan dibincang

 

Cadangan mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu tidak menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) serta Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata bagaimanapun langkah mengenakan penalti terbabit dan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, dilihat hanya boleh diambil selepas pendekatan sukarela atau usaha pendaftaran menerusi pelbagai saluran termasuk MySejahtera dan secara bersemuka, dilaksanakan sepenuhnya.



Ketika ini, katanya, maklumat perlu disampaikan kepada masyarakat bahawa vaksin itu diberikan secara percuma melalui pelaksanaan berfasa.


Selain itu, beliau berkata, kerajaan melalui JKJAV sudah mempunyai jadual penghantaran vaksin daripada syarikat pengeluar terbabit.


"Kementerian Kesihatan (KKM) bertanggungjawab memperoleh vaksin dan kita ada jadual penghantaran daripada calon vaksin yang kita sudah 'procure'.


"Ia membabitkan vaksin AstraZeneca daripada kemudahan COVAX, Pfizer daripada kemudahan pembekalan di Belgium dan syarikat itu sendiri, serta Sinovax melalui Pharmaniaga secara 'fill and finish'.


"Kita juga sedang menunggu pembekalan vaksin daripada Cansino, Gamaleya dan Sputnik V.


"Kita yakin pemberian vaksin akan lebih rancak apabila mendapat lebih banyak bekalan bermula Jun serta Julai depan seperti diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin," katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.


BH hari ini melaporkan Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, serta Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, mencadangkan supaya individu yang tidak menghadiri janji temu suntikan vaksin tanpa alasan munasabah, dikenakan penalti atau kompaun.


Jacob dipetik berkata, tindakan golongan itu secara langsung mengganggu kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sekali gus menyebabkan negara lewat mencapai sasaran imuniti kelompok.


Dr Sharifa Ezat pula mengesyorkan penalti bermula dari RM200 dikenakan bagi setiap kali gagal menghadiri janji temu di PPV.


Berdasarkan maklumat dilaporkan sebelum ini, bilangan individu tidak menghadiri janji temu di PPV membabitkan beberapa negeri telah mencecah jumlah berpuluh ribu.


Cadangan kompaun, penalti tidak hadir suntik vaksin diteliti

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/821333/cadangan-kompaun-penalti-tidak-hadir-suntik-vaksin-diteliti

2 Mei 2021

Permohonan 260000 slot janji temu vaksin AstraZeneca penuh selepas 3 jam setengah dibuka

 Permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca ditutup kira-kira jam 3.20 petang tadi selepas semua tarikh janji temu ditempah.


Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan perkara itu berkata, individu yang layak bagaimanapun masih boleh membuat tempahan janji temu menerusi senarai menunggu.



Katanya, tempahan slot senarai menunggu akan dibuka untuk tempoh beberapa jam, sebelum keseluruhan sistem pendaftaran menerusi vaksincovid.gov.my ditutup.


"Semua slot (janji temu bagi mendapatkan suntikan) AstraZeneca sudah ditempah.


"Maaf kerana berlaku beberapa kepincangan di peringkat awal dan ada yang terpaksa mengemaskini proses berulang kali.


"Kita akan mula memaklumkan pengesahan tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera atau secara khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya menerusi akaun Twitter, @Khairykj, hari ini.


Sistem permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca sesak sejak mula dibuka kepada orang ramai pada jam 12 tengah hari tadi.


Antara isu disuarakan pemohon ialah kesukaran mendapatkan slot janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas tertentu yang dipercayai paling dekat dengan tempat kediaman masing-masing.


Malah, ada yang mengeluh terpaksa menunggu hampir sejam sebelum dapat menembusi sistem permohonan dan disahkan sebagai bakal penerima suntikan pelalian dari United Kingdom itu.


Permohonan mendapatkan 260,000 janji temu suntikan vaksin AstraZeneca dibuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur.


Vaksin AstraZeneca 'laris'

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/812997/vaksin-astrazeneca-laris

5 Feb 2021

Arkeologi temui mumia berlidah emas

 

Sekumpulan ahli arkeologi Mesir-Dominika yang menjalankan misi cari gali di Alexandria menemui mumia berusia sekitar 2,000 tahun lalu dengan lidah keemasan, baru-baru ini.


Penemuan mumia itu disahkan oleh pihak berkuasa Mesir kepada AFP, Rabu lalu.


"Misi itu menemui 16 kuburan di kuil Taposiris Magna yang terletak di sebelah barat Alexandria dekat utara Mesir," demikian kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Antikuiti Mesir berhubung penemuan itu.



Menerusi kenyataan sama, kementerian itu memaklumkan teknik pengebumian digunakan secara meluas pada zaman Yunani dan Rom.


"Terdapat beberapa mumia dalam kubur berkenaan yang tidak terpelihara dengan baik tetapi mempunyai saduran emas pada bahagian lidahnya.


"Emas diletakkan di mulut si mati kerana dipercayai supaya mereka dapat bercakap pada 'hari kebangkitan' nanti," katanya.


Sementara itu, ketua misi cari gali, Kathleen Martinez berkata, dua daripada mumia ditemui menarik perhatian kumpulan penyelidik.


"Salah satunya mempunyai pembalut dan bahagian kadbod bersama lapisan kain linen yang dilekatkan, disadur dan dicat pada keseluruhan badan mumia selain dihiasi dengan dengan patung Osiris, dewa kematian Mesir.


"Satu lagi mumia memiliki mahkota yang dihiasi dengan tanduk dan ular tedung serta kalung bersama loket dalam bentuk kepala helang yang mewakili dewa Horus, putra Isis dan Osiris," katanya.


Sementara itu, Ketua Antikuiti Alexandria, Khaled Abu al-Hamd berkata, pasukan misi berkenaan turut menemui topeng pengebumian wanita dan mahkota emas.


dan lapan topeng marmar.


Misi itu diadakan di sebelah barat Alexandria selama beberapa tahun dalam usaha mencari makam legenda, permaisuri Ptolemaic Cleopatra, meskipun terdapat keraguan dalam kalangan kalangan arkeologi mengenai kemungkinan kewujudannya di kawasan itu.


Kerajaan purba Ptolemaic berasal dari Yunani dan memerintah Mesir antara 323 dan 30 sebelum Masihi sebelum Rom mengambil alih pemerintahan dengan Cleopatra menjadi pemerintah terakhirnya. Agensi


Mumia berlidah keemasan

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/afrika/2021/02/671444/mumia-berlidah-keemasan

1 Feb 2021

Arkeologi temui cebisan kain zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman

 

Arkeologi di Israel mendakwa menemui cebisan kain yang diwarnai dengan pewarna ungu dikatakan berasal dari zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman di selatan negara itu.


"Mereka terkejut ketika menemui sisa kain tenunan, rumbai dan serat daripada benang 'wool' berwarna ungu diraja," menurut Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, Universiti Tel Aviv dan Universiti Bar Ilan.



Penemuan itu dibuat ketika ahli arkeologi itu memeriksa tekstil berwarna dari Lembah Timna, sebuah daerah pengeluaran tembaga purba, menurut mereka dalam satu kenyataan bersama.


"Tarikh radiokarbon langsung mengesahkan bahawa penemuan itu berasal dari sekitar tahun 1,000 sebelum masihi (SM), sesuai dengan kerajaan (Nabi) Daud dan (Nabi) Sulaiman di Baitulmaqdis mengikut kitab Injil," katanya.


Beliau berkata, itu juga adalah kali pertama tekstil Zaman Besi berwarna ungu ditemui di Israel atau kawasan Levant.


Warna itu dikaitkan dengan kerabat diraja, bangsawan dan paderi dan pewarna itu "sering berharga lebih mahal daripada emas", kata , Kurator Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, Naama Sukenik.


"Sehingga penemuan baru-baru ini, kami hanya menemui sisa kulit moluska dan serpihan tembikar dengan tompok pewarna, yang membuktikan kewujudan industri tekstil dan penghasilan warna ungu pada Zaman Besi," katanya.


"Buat kali pertamanya, kami mempunyai bukti langsung kain yang dicelup itu sendiri, kekal selama kira-kira 3,000 tahun.


"Juga dipanggil sebagai ungu Tyria, bersempena sebuah kota di selatan Lubnan yang terkenal dengan penghasilannya, pigmen ini masih tinggi nilainya hingga ke hari ini.


"Pewarna ini yang dihasilkan dari spesies moluska yang terdapat di Mediterranean, lebih dari 300 kilometer dari Timna, sering disebut dalam kitab Injil dan muncul dalam pelbagai konteks Yahudi dan Kristian," menurut kenyataan itu.


Erez Ben-Yosef dari Jabatan Arkeologi Universiti Tel Aviv berkata penemuan itu akan 'merevolusikan konsep pemahaman kita terhadap masyarakat nomad pada Zaman Besi'.


"Penemuan ini mengukuhkan tanggapan kami bahawa ada golongan elit di Lembah Timna, yang membuktikan masyarakat yang berstrata," katanya. - AFP


Cebisan fabrik zaman Nabi Daud, Nabi Sulaiman ditemui

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/02/781724/cebisan-fabrik-zaman-nabi-daud-nabi-sulaiman-ditemui

17 Feb 2016

Berlian putih sepanjang 7 sentimeter bernilai RM60 juta ditemui pelombong

Sebutir berlian, dipercayai satu daripada yang terbesar pernah ditemui, dijumpai di Afrika Selatan, baru-baru ini.

Berlian putih yang hampir sempurna itu ditemui pelombong sebuah syarikat Australia di kawasan terpencil di Lunda Norte, wilayah di timur laut Angola. Menurut Syarikat Berlian Lucapa, batu permata itu seberat 404 karat dan bernilai kira-kira £10 juta (RM60 juta).

Pengurus syarikat, Miles Kennedy memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), berlian itu ialah yang terbesar pernah ditemui di Angola.