• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label usia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label usia. Papar semua catatan

16 Dis 2021

Jemaah luar negara berusia 12 tahun dibenar tunai umrah

 

Arab Saudi membenarkan jemaah dari luar negara, yang berusia 12 tahun ke atas, untuk menunaikan umrah.


Perkara itu diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menambah peraturan terdahulu yang hanya membenarkan individu berusia 18 tahun menunaikan umrah.



Di bawah peraturan baharu, semua penduduk di Arab Saudi serta rakyat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan jemaah asing yang berusia 12 tahun dan ke atas perlu mendapatkan permit untuk menunaikan umrah, solat di Masjidilharam, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.


Lapor Khaleej Times yang memetik Saudi Gazette, menyatakan rakyat GCC perlu mendaftarkan bukti vaksinasi mereka di platform Muqeem sebelum tiba di Arab Saudi serta mendaftar di aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna selepas berada di negara ini.


Sebaik sahaja status kesihatan mereka dikemaskini di aplikasi Tawakkalna, mereka dibenarkan menunaikan umrah dan solat di masjid utama berkenaan.


Jemaah yang tiba dari pelbagai negara juga perlu mematuhi prosedur sama, namun perlu menunjukkan bukti vaksinasi di platform Qudoom.


Syarikat umrah akan mengeluarkan permit yang diperlukan bagi jemaah asing yang menggunakan visa umrah.


Walaupun penjarakan fizikal sudah dimansuhkan, namun jemaah perlu memakai pelitup muka dan membuat tempahan terlebih dulu sebelum solat dan menunaikan umrah. - AGENSI


Jemaah asing berusia 12 tahun ke atas dibenar tunai umrah

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2021/12/899631/jemaah-asing-berusia-12-tahun-ke-atas-dibenar-tunai-umrah


15 Okt 2021

Tengkorak usia 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri

 

Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis.


Selain tengkorak manusia, hasil eksplorasi Jabatan Warisan, Kerajaan Negeri Perlis dan Persatuan Pendaki Negeri Perlis turut menemui lukisan dinding gua zaman proto sejarah di Gua Semadong.



Penemuan itu membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah dan proto sejarah, ribuan tahun dahulu.


Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Azmi Mohd Yusof, berkata penemuan itu adalah penemuan sejarah yang terbaharu, selain penemuan bahan sejarah lain seperti candi Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan.


"Ini adalah penemuan terbaharu dari negeri Perlis dan satu penemuan yang amat baik bagi kita untuk merangka kronologi sejarah.


"Daripada lukisan ini, kita dapat lihat lukisan berbentuk binatang seperti lembu, gajah, ular, mawas serta manusia. Kita percaya ia mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi.



"Berdasarkan kajian lalu yang dibuat di sekitar gua di Perlis, kawasan gua di Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu. Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul digunakan sebagai tapak penempatan dan pengkebumian masyarakat paleolitik dan neolitik berdasarkan penemuan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.


"Kita percaya kawasan ini bukan sahaja didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto sejarah berdasarkan artifak seperti kalam semah (votive tablet) yang turut ditemui di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri dan Gua Semadong, di sini, hari ini.


Mohd Azmi berkata, penemuan itu amat penting dalam merangka kronologi sejarah.


"Kita berharap semua masyarakat, sama-sama menjaga warisan ini supaya kita dapat membuat kajian lanjut.


"Apa yang penting sekarang, adalah untuk mewartakan tapak penemuan ini sebagai lokasi sejarah supaya ia tidak diceroboh atau dimusnahkan oleh orang tidak bertanggungjawab," katanya.


 


Tengkorak manusia berusia 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, Perlis

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/876170/tengkorak-manusia-berusia-10000-tahun-ditemui-di-bukit-keteri-perlis

1 Apr 2021

Budak jumpa fosil karang tanduk berusia 488 juta tahun di laman rumah

 

Seorang kanak-kanak lelaki di United Kingdom (UK) tidak sengaja menemui khazanah berharga iaitu fosil karang tanduk berusia 488 juta tahun ketika menggali tanah di laman kediamannya.


BBC melaporkan, Siddak Singh tidak tahu rangka yang ditemuinya itu adalah fosil.


Namun, ayahnya, Vish Singh berusaha mendapatkan kepastian daripada kumpulan pakar di Facebook (Fb) yang arif dan ternyata ia adalah fosil berusia ratusan juta tahun.



"Pada hari itu, saya ke laman dan hobi saya adalah menggali tanah untuk mencari cacing dan barang seperti tembikar.


"Entah bagaimana, saya terjumpa rangka seperti tanduk dan beranggapan ia adalah gigi, kuku atau sekadar tanduk biasa.


"Saya tunjukkan benda itu pada ayah sebelum diberitahu ia adalah fosil," katanya.


Sementara itu, Vish mengakui terkejut dengan penemuan anaknya itu.


"Kami terkejut Siddak menemui sesuatu yang kelihatan ganjil di dalam tanah iaitu karang tanduk dan beberapa kepingan kecil di sebelahnya.


"Keesokan harinya, dia pergi menggali lagi dan menemui ketulan tanah," katanya.


Penemuan ini mengejutkan dua beranak itu kerana mereka bukan tinggal di tempat yang fosil lazimnya ditemui. Pemeriksaan lanjut mendapati fosil itu adalah karang Rugosa yang wujud antara 251 hingga 488 juta tahun.


Menurut Singh, fosil itu adalah milik zaman Paleozoik


"England pada masa itu adalah sebahagian dari Pangea, sebuah daratan benua besar dan ketika itu ia berada di bawah laut," kata Vish.


Budak terjumpa fosil 488 juta tahun

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/eropah/2021/04/690104/budak-terjumpa-fosil-488-juta-tahun