Zakat fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan orang asnaf ketika 1 Syawal (siang dan malam).
Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya:
“Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah kerana ia membersihkan kekotoran (dosa) orang-orang yang berpuasa dan memberikan makanan (juadah) kepada orang-orang miskin. Dan barangsiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) sebelum sembahyang hari raya, maka ia adalah zakat yang diterima dan barangsiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) selepas sembahyang hari raya, ia menjadi sedekah-sedekah biasa (bukan zakat fitrah).
Hadis riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah
Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:
Waktu wajib:
Apabila terbenam matahari akhir 30 ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
Waktu yang paling afdhal:
Sebelum menunaikan Solat Sunat Hari Raya.
Waktu sunat:
Sepanjang bulan Ramadhan.
Waktu makruh:
Selepas solat sunat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.
Waktu haram:
Selepas terbenam matahari satu Syawal.
NIAT DAN LAFAZ AKAD FITRAH
Mereka yang berfitrah hendaklah ia berniat seperti berikut:
1. Diri sendiri.
“Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah sebanyak ………… yang wajib bagi diriku pada tahun ini kerana Allah Taala.”
2. Diri dan tanggungan.
“Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah sebanyak ………… yang wajib bagi diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Taala.”
3. Bagi pihak.
“Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah sebanyak ………… yang wajib keatas pihak yang aku wakili pada tahun ini kerana Allah Taala.”