• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

29 Okt 2021

KPDNHEP tidak tetap harga siling kit ujian kendiri COVID-19

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan menetapkan harga siling bagi kit ujian kendiri COVID-19.


Harga kit berkenaan akan ditentukan pasaran selepas KPDNHEP mendapat jaminan daripada syarikat pengeluar bahawa kit berkenaan akan dijual dengan harga lebih murah berbanding harga siling RM19.90 ketika ini, termasuk menjualnya pada harga bawah RM10.



Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat yang diluluskan tanpa sebarang pindaan, hari ini.


Beliau berkata, kit kendiri COVID-19 itu akan dijual bukan saja di farmasi dan kedai ubat, tetapi akan diperluas ke pasar raya, kedai rangkaian dan stesen minyak dalam masa terdekat.


"Pada asalnya, kementerian bercadang untuk menentukan harga maksimum (kit ujian kendiri COVID-19), mungkin RM15 atau RM13, namun apabila ramai pemain industri datang dan beradvokasi dengan kita, ada yang tawarkan untuk menjualnya di bawah RM10.


"Jika dibenarkan dijual di pasaran terbuka yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), maka mereka boleh jual dengan harga lebih murah.


"Jadi, saya yakin menerusi komitmen dan janji yang dibuat pemain industri ini dan akan dikotakan pada akhir bulan ini. Jadinya kementerian beranggapan tidak perlu tentukan harga maksima, kita biarkan pasaran menentukan harganya," katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perihal Dagangan (Pindaan) 2021. RUU berkenaan diluluskan hari ini tanpa sebarang pindaan.


Mengenai mekanisme bagi menentukan kebolehpercayaan kit ujian kendiri yang akan dijual lebih murah itu, Rosol berkata, kit berkenaan diluluskan MDA.


"Apabila ada cop MDA, maka ia diluluskan kerajaan, jadi tiada kerisauan. Jika tidak diluluskan, maka ia menjadi satu kesalahan untuk alat itu dijual.


"Jika ada hal penipuan dan peralatan palsu, kita terbuka untuk sentiasa menyiasat," katanya.


Sementara itu, mengenai isu minuman keras jenama Timah yang sebelum ini mewujudkan suasana tidak selesa dalam kalangan umat Islam, Rosol berkata, pengeluar minuman itu sudah membuat satu komitmen untuk mengkaji semula nama berkenaan.


"Mereka memahami akan keresahan dan kerisauan umat Islam di negara ini dan ini menunjukkan Keluarga Malaysia ini cukup prihatin tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan," katanya.


Mengenai RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 yang diluluskan itu, Rosol berkata, ia adalah penambahbaikan kepada Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) supaya lebih komprehensif, bersesuaian dengan peredaran masa dan isu berbangkit masa kini.


Ia antara lain memasukkan seksyen baharu 39A ke dalam Akta 730 bagi memberikan kuasa kepada Penolong Pengawal untuk menahan mana-mana orang yang dipercayainya melakukan atau cuba melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5, 16, 17, 20 atau 51 Akta 730.


Selain itu, ia turut bertujuan memasukkan seksyen baharu 52A untuk memberikan seseorang Penolong Pengawal kuasa untuk meminda, memilih, mengambil atau mendapatkan sampel apa-apa barang bagi maksud analisis, tanpa bayaran daripada mana-mana orang yang mengilang, mengeluarkan, menjual atau mengimport barang itu atau daripada ajen atau perkhidmatannya.


"Seksyen 52A yang dicadangkan juga bertujuan untuk menjadikan suatu kesalahan jika mana-mana orang enggan untuk mematuhi apa-apa permintaan yang dibuat oleh Penolong Pengawal," katanya.


Tiada had siling harga kit ujian kendiri COVID-19 - Rosol

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/881077/tiada-had-siling-harga-kit-ujian-kendiri-covid-19-rosol

Mark Zuckerberg tukar nama facebook kepada Meta

 

Platform sosial media terbesar, Facebook kini dijenamakan semula kepada Meta.


Pengasas platform berkenaan, Mark Zuckerberg mengumumkan perkara berkenaan dan semua aplikasi di bawah Meta iaitu Facebook, Messenger, Instagram dan beberapa platform lain kekal beroperasi seperti biasa.


Penjenamaan semula itu akan memberi fokus kepada segmen dunia meta atau 'Metaverse' yang lebih besar lagi.



Zuckerberg menyatakan bahawa penjenaman itu perlu kerana organisasi berkenaan tidak hanya menjadi pengendali kepada Facebook saja sebaliknya banyak platform lain.


Menerusi majlis Facebook Connect awal pagi tadi, Zuckerberg turut memperlihatkan dunia meta berkenaan akan mengubah cara pengguna berinteraksi antara satu sama lain.


Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dunia meta itu akan menjadi evolusi baharu Internet.


Facebook kini dikenali Meta

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/10/771567/facebook-kini-dikenali-meta

28 Okt 2021

Indeks kos bahan binaan meningkat sehingga 9 peratus

 

Indeks kos bahan binaan didapati meningkat pada kadar antara tiga hingga sembilan peratus di seluruh negara, kesan akibat pandemik COVID-19 dan peningkatan harga pasaran global.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata ia berdasarkan kajian terhadap data Jabatan Perangkaan dari Januari hingga Ogos lalu, yang diunjurkan sehingga Disember ini.


Beliau berkata, antara bahan yang terkesan dan berkait secara langsung dengan industri pembinaan adalah besi bertetulang serta crushed aggregates (crusher run).



"Kementerian Kerja Raya mengambil maklum mengenai kenaikan harga bahan binaan seperti pasir dan besi bertetulang agak ketara mengikut lokaliti setempat dan ini turut memberi kesan kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam kumpulan dan sub-kumpulan wajaran tertentu serta menjejaskan kelancaran pembinaan projek kerajaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan asal Datuk Ignatius Darell Leiking mengenai langkah diambil kerajaan bagi mengawal harga bahan binaan yang meningkat secara mendadak dan impak kenaikan drastik itu kepada projek kerajaan yang sudah diluluskan.


Arthur berkata, Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta agensi pelaksana berkaitan mengambil beberapa langkah bagi menangani isu kenaikan kos bahan binaan itu.


Beliau berkata, ia termasuk mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri untuk memperhalusi perkara itu, seterusnya mengemukakan cadangan untuk mewujudkan semula peruntukan Syarat Perubahan Harga.


"Selain itu, melaksanakan pemantauan harga bulanan dan menerbitkannya melalui Portal National Construction Cost Centre (N3C) (www.n3c.cidb.gov.my), yang mana harga bahan binaan ini dikumpulkan melalui kerjasama dengan beberapa persatuan berkaitan pembinaan dan diperoleh daripada kontraktor," katanya.


Kesan daripada kenaikan harga itu juga, katanya, kerajaan mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan projek kerajaan terus dilaksanakan seperti Kementerian Kewangan bersetuju menguatkuasakan Pekeliling Baharu 2.4 Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) dalam kontrak kerja pada 15 Julai 2021.


"JKR juga mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi meluaskan pemakaian VOP bagi kontrak kerja reka dan bina untuk projek pada 1 September 2021 dan masih menunggu pertimbangan, selain melaksanakan kajian terhadap jadual kadar harga yang dikhususkan kepada perlaksanaan projek secara kontraktor kecil kerja undi kontraktor G1 dan G2.


"Kementerian Kewangan menerusi surat bertarikh 12 Julai lalu turut meluluskan penggunaan Jadual Kadar Kerja (JKK) Kejuruteraan Awam dan Bangunan Tahun 2021 yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu sehingga 31 Disember 2022," katanya.


Indeks kos bahan binaan naik sehingga 9 peratus

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/881046/indeks-kos-bahan-binaan-naik-sehingga-9-peratus