• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

12 Nov 2021

Penuntut sertai kempen pengambilan suntikan vaksin Covid-19 menangi hadiah RM4.15 juta

 

Bertuah seorang penuntut di Australia apabila menjadi jutawan segera selepas mendaftar kempen pengambilan suntikan vaksin Covid-19.


Daily Star melaporkan, Joanne Zhu, 25, memenangi AS$1 juta (kira-kira RM4.15 juta) selepas menjadi seorang daripada 2,744,974 warga Australia yang mendaftar untuk menerima vaksin.



Wanita itu memenangi hadiah utama kempen Million Dollar Vax, yang bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Australia mendapatkan vaksin Covid-19.


"Adakah saya bermimpi, adakah ini benar? Saya tidak percaya," kata Zhu kepada NEWS7.


Zhu mendedahkan dia pada awalnya terlepas panggilan berita gembira itu kerana sedang bekerja.


Dia bagaimanapun cuba menghubungi semula nombor itu dan diberitahu dia memenangi hadiah itu serta menjadi pemenang tunggal di Australia.


Wanita itu dilaporkan mahu berkongsi wang hadiah kemenangannya dengan rakan dan keluarga.


Difahamkan, Zhu tidak berjumpa keluarganya, yang tinggal di China, selama dua tahun kerana wabak Covid-19.


"Saya mahu menerbangkan keluarga saya keluar dari China supaya mereka dapat menginap di hotel lima bintang untuk sambutan Tahun Baru Cina, jika sempadan dibuka.


"Selain itu, saya mahu membeli hadiah untuk keluarga dan laburkan baki wang itu supaya boleh menjana lebih banyak wang pada masa hadapan dan untuk membantu orang ramai," kata Zhu menerusi program Nine's Weekend Today.


Zhu berharap kadar vaksinasi terus meningkat di Australia supaya sempadan boleh dibuka semula.


Kempen Million Dollar Vax Alliance diasaskan sekumpulan dermawan dan syarikat untuk meningkatkan kadar vaksin dengan menawarkan peluang menang ganjaran lumayan.


Kumpulan dermawan itu memperuntukan AS$4.1 juta (kira-kira RM17.01 juta) sebagai hadiah kepada lebih 3,100 individu yang mendaftar pengambilan vaksin.


Bercakap kepada The Australian, Craig Winkler dari Million Dollar Vax Alliance berkata, kejayaan kempen itu dapat dilihat menerusi penyertaan menggalakkan pada saat-saat akhir sebelum penyertaan ditutup.


"Kami menunjukkan secara kolektif apa yang boleh berlaku apabila warga Australia terbabit sama.


"Mari kita selesaikan tugas iaitu kempen Million Dollar Vax yang memainkan peranannya dan semua manfaat kesihatan kepada anda, keluarga anda serta komuniti dengan paling menarik adalah hadiah yang boleh kita menangi," katanya.


Cucuk vaksin dapat RM4.15J

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/11/776070/cucuk-vaksin-dapat-rm415j

10 Nov 2021

Fumio Kishida Perdana Menteri Jepun ke-101

 

Dewan Rakyat Jepun memilih Fumio Kishida sebagai Perdana Menteri ke-101 dengan majoriti 297 undi.


Di Jepun, seorang perdana menteri dipilih berdasarkan undi majoriti.



Setiap parti politik mencadangkan calonnya.


Kishida yang menerajui Parti Demokratik Liberal memperoleh sokongan majoriti di Dewan Rakyat pada 31 Okt, lapor Sputnik. - BERNAMA


Fumio Kishida dilantik Perdana Menteri Jepun ke-101

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/11/885845/fumio-kishida-dilantik-perdana-menteri-jepun-ke-101



Kishida daripada keturunan pemimpin politik Hiroshima, seorang yang lembut ketika berbicara, menewaskan ketua vaksin terkenal, Taro Kono dalam pilihan raya yang menyaksikan kemenangan kepada Parti Liberal Demokrat minggu lalu.


Beliau dengan mudah menang undi di Dewan Rakyat yang mana gabungan parti pemerintah LDP memperoleh majoriti tertinggi, dengan mendapat 311 undi berbanding 124 undi diperoleh pemimpin pembangkang, Yukio Edano.


Kishida dianggap sebagai ahli politik berpotensi dan mendapat sokongan yang baik dari partinya sendiri, LDP dan dijangka meneruskan agenda pemerintah sedia ada.


Fumio Kishida, PM baharu Jepun

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/10/872277/fumio-kishida-pm-baharu-jepun


9 Nov 2021

KPDNHEP keluar notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan 2011 kepada peniaga restoran terapung di Langkawi

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan 2011 kepada peniaga restoran terapung di Langkawi pada Sabtu lalu.


Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, notis bertulis itu perlu dijawab dalam tempoh lima hari iaitu sebelum Khamis ini bagi mengelak sebarang tindakan sekiranya pemilik restoran berkenaan gagal berbuat demikian.



"Kita beri tempoh lima hari untuk pemilik restoran menjawab beberapa perkara di dalam notis itu antaranya berkaitan kos ikan siakap, makanan dan apa-apa yang ada dijual di situ.


"Setakat ini kita masih menunggu maklum balas daripada pemilik restoran itu. Buat masa sekarang kita tidak boleh kata salah atau tidak, sebaik sahaja kita terima notis itu kita akan analisa setiap kos yang diberikan secara terperinci sama ada berlakunya kenaikan harga tidak munasabah atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.


Media sebelum ini melaporkan, makan tengah hari sekumpulan tujuh pelancong di sebuah restoran terapung di Langkawi dikejutkan dengan harga ikan siakap yang didakwa terlalu mahal.


Berdasarkan satu resit yang dimuat naik seorang pengadu di laman sosial, ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang dipesannya berjumlah RM1,196.80.


Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan itu termasuk hidangan makanan dan minuman lain, ialah RM1,759.50 dan tular di media sosial.


Mengulas itu sama, Mohd Shahran berkata, sehingga kini hanya satu aduan berkaitan diterima pihaknya dan beliau meminta pengguna yang mengalami situasi sama terus membuat laporan kepada KPDNHEP.


"Sekarang kita sedang lancarkan Ops Menu, operasi ini bukan sahaja kita fokus kepada harga pada menu tetapi juga kepada alat timbangan sama ada alat itu masih sah atau tidak.


"Dalam masa sama kita minta aduan terus dilakukan kepada KPDNHEP untuk mudahkan penguatkuasa mendapatkan maklumat terperinci daripada pengguna itu sendiri.


"Sekiranya ditularkan dalam media sosial sahaja maka kita terpaksa mencari individu terbabit menerusi media sosial dan terpaksa menunggu jawapan daripadanya sebelum kita perolehi maklumat lanjut," katanya.


Siakap RM1,196.80: KPDNHEP keluar notis kepada pemilik restoran

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/11/775102/siakap-rm119680-kpdnhep-keluar-notis-kepada-pemilik-restoran