• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

30 Dis 2021

SWCorp Negeri Sembilan kumpul 1,151 tan metrik sisa pepejal pascabanjir

 

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 1,151 tan metrik sisa pepejal pascabanjir, setakat semalam.


Pengarahnya, Mohd Zahir Shari, berkata ia membabitkan empat daerah yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini, iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau dan Jelebu.



"Hingga kini, anggaran kapasiti sisa pepejal pascabanjir bagi tempoh seminggu di Seremban ialah sebanyak 427 tan, Port Dickson (371), Jelebu (309) dan Rembau (44)," katanya kepada BH, hari ini.


Mohd Zahir berkata, misi bantuan pembersihan pascabanjir masih diteruskan, terutama di kawasan terkesan teruk seperti Jelebu dan Kampung Ismail Ampangan, di sini.


Beliau berkata, pihaknya sudah mewujudkan sebuah tapak pengumpulan sementara (transit) di Titi, Jelebu, dengan persetujuan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan kerja pembersihan.


"Walaupun hanya sebuah tapak transit diwujudkan, ia mencukupi kerana sisa pepejal berkenaan tidak berada lama di sana apabila proses mengangkut sisa terbabit ke pusat pelupusan berjalan lancar," katanya.


Mohd Zahir berkata, pihaknya juga amat berterima kasih atas kerjasama baik daripada PBT dan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin setempat, bagi mempercepatkan proses pungutan sisa pukal berkenaan.


"Melalui bantuan dan kerjasama pelbagai pihak, kita menjangka proses kutipan sampah dan pembersihan pascabanjir ini dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi.


"Namun, tempoh itu tidak termasuk pembersihan dalam sistem perparitan yang mungkin mengambil masa lebih lama jika terdapat kerosakan pada insfrastruktur berkenaan," katanya.


SWCorp Negeri Sembilan rekod 1,151 tan metrik sisa pepejal pascabanjir

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/905488/swcorp-negeri-sembilan-rekod-1151-tan-metrik-sisa-pepejal-pascabanjir

28 Dis 2021

JAIS buka 6 pusat pengumpulan Al Quran dan buku agama

 

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuka enam pusat pengumpulan al-Quran serta buku agama yang musnah akibat banjir yang melanda Selangor pada 18 Disember lalu.


Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dilakukan selaras dengan tanggungjawab jabatan itu untuk menjaga kesucian al-Quran.


"Banjir besar yang melanda mengakibatkan kemusnahan serta kerosakan harta benda termasuk al-Quran dan buku agama di masjid, surau, sekolah dan rumah persendirian.


"Justeru, Jais menetapkan enam pusat pengumpulan di enam daerah yang terjejas banjir iaitu Tanah Perkuburan Islam Sungai Serai bagi daerah Hulu Langat; Tanah Perkuburan Islam Johan Setia (Klang); Masjid Al-Madaniah USJ 18, Subang Jaya (Petaling); Masjid As-Solihin Kancong Darat (Kuala Langat); Kompleks Islam Daerah Kuala Selangor (Kuala Selangor); dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya (Sepang).



"Kesemua pihak khususnya umat Islam di lokasi yang terjejas, boleh dan hendaklah menghantar naskhah al-Quran dan buku agama yang mengalami kerosakan ke masjid kariah yang berdekatan sehingga 30 Disember ini (Khamis).


"Naskhah berkenaan akan dikumpulkan dan dibawa ke pusat pengumpulan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pihak masjid perlu memastikan kesemua naskhah yang dihantar ditempatkan di ruang yang sesuai, selamat dan bersih serta jauh daripada laluan manusia atau haiwan bagi mengelakkan ia dilangkah, dipijak, serta diletakkan di kedudukan yang tinggi dari paras biasa persekitaran.


Katanya, bagi tempat penyimpanan yang tidak berbumbung pula, pihak masjid perlu menutup bahan-bahan berkenaan menggunakan plastik atau kanvas bagi mengelakkan ia basah akibat terkena hujan.


"Jais akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menguruskan pengangkutan kesemua naskhah terbabit dari masjid kariah sehingga keenam pusat pengumpulan al-Quran dengan segera sebelum proses pelupusan dilaksanakan," katanya.


Jais buka enam pusat pengumpulan al-Quran, buku agama

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/12/793532/jais-buka-enam-pusat-pengumpulan-al-quran-buku-agama

16 Dis 2021

Jemaah luar negara berusia 12 tahun dibenar tunai umrah

 

Arab Saudi membenarkan jemaah dari luar negara, yang berusia 12 tahun ke atas, untuk menunaikan umrah.


Perkara itu diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menambah peraturan terdahulu yang hanya membenarkan individu berusia 18 tahun menunaikan umrah.



Di bawah peraturan baharu, semua penduduk di Arab Saudi serta rakyat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan jemaah asing yang berusia 12 tahun dan ke atas perlu mendapatkan permit untuk menunaikan umrah, solat di Masjidilharam, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.


Lapor Khaleej Times yang memetik Saudi Gazette, menyatakan rakyat GCC perlu mendaftarkan bukti vaksinasi mereka di platform Muqeem sebelum tiba di Arab Saudi serta mendaftar di aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna selepas berada di negara ini.


Sebaik sahaja status kesihatan mereka dikemaskini di aplikasi Tawakkalna, mereka dibenarkan menunaikan umrah dan solat di masjid utama berkenaan.


Jemaah yang tiba dari pelbagai negara juga perlu mematuhi prosedur sama, namun perlu menunjukkan bukti vaksinasi di platform Qudoom.


Syarikat umrah akan mengeluarkan permit yang diperlukan bagi jemaah asing yang menggunakan visa umrah.


Walaupun penjarakan fizikal sudah dimansuhkan, namun jemaah perlu memakai pelitup muka dan membuat tempahan terlebih dulu sebelum solat dan menunaikan umrah. - AGENSI


Jemaah asing berusia 12 tahun ke atas dibenar tunai umrah

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2021/12/899631/jemaah-asing-berusia-12-tahun-ke-atas-dibenar-tunai-umrah