• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

17 Jun 2022

Keluarga Pengasas Dnars tuntut siasatan lanjut kematian

 

Keluarga pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia pada 18 Mei 2019, membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Allahyarham.


Laporan polis itu dibuat jam 1 tengah hari tadi di Balai Polis Tumpat selepas tiga tahun kematian pengasas produk berkenaan.


Ahli keluarga Allahyarham ketika dihubungi mengesahkan membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut terhadap kematian Allahyarham yang disyaki ada unsur lain.



"Selepas kematian Allahyarham, kami ahli keluarga melantik peguam untuk mendapatkan maklumat dan hasil dapatan peguam terbabit, mendapati kematian Allahyarham diragui.


"Kami mengesyaki kematian Allahyarham bukan disebabkan kemalangan semata-mata sebaliknya ada unsur lain yang menyebabkan kami tampil membuat laporan polis.


"Susulan laporan dibuat, saya juga sudah memberi keterangan kepada pihak polis hari ini dan kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat keluarga Allahyarham.


Katanya, pihaknya akan merujuk laporan berkenaan ke Bahagian Perundangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) terlebih dahulu memandangkan kes berkenaan berlaku di Thailand.


Media sebelum ini melaporkan, Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban meninggal dunia, manakala suaminya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand.


Faziani Rohban maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya, Shah Rizal Ibrahim, cedera.


Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki mangsa dan sebuah lori.


Allahyarham dikatakan dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, Thailand untuk memberi sumbangan.


Sumber asal:

'Kami syak kematian Faziani ada unsur lain' - Keluarga

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2022/06/852630/kami-syak-kematian-faziani-ada-unsur-lain-keluarga

24 Apr 2022

Cristiano Ronaldo jaring gol Liga Perdana Inggeris ke-100

 

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol Liga Perdana Inggeris ke-100 dirinya ketika Manchester United tewas 3-1 kepada Arsenal di Stadium Emirates.


Jaringan Nuno Tavares dan Bukayo Saka meletakkan Arsenal di depan sebelum Ronaldo merapatkan jurang untuk kembali merancakkan permainan.


Ronaldo, pemain ke-33 mencapai kejayaan itu, tidak beraksi ketika United dibelasah Liverpool di Anfield kerana masih berkabung di atas kematian anak lelakinya yang baru lahir.


Ronaldo kini sudah meledak 100 gol atau lebih di empat entiti berbeza - 311 di La Liga, 140 di Liga Juara-Juara, 115 untuk Portugal dan terbaru 100 gol untuk United.



"100 gol Liga Perdana Inggeris untuk Cristiano (Ronaldo). Melakar pencapaian ini selepas minggu yang menyedihkan membuktikan kekuatan mental dan keazamannya. Menakjubkan," kata legenda England Gary Lineker.


Sementara itu bekas rakan sepasukan Ronaldo di United, Rio Ferdinand berkata: "Hanya itu yang difikirkannya semalam - cuba memenangi perlawanan dan pada masa sama menjaringkan gol dan memberi impak.


"Dan dia melakukannya. Ia jaringan hebat. Tindakan susulan yang hebat dan cukup tenang di bawah tekanan. Memang sukar untuk menjaringkan gol dengan kaki kirinya." - AGENSI


Ronaldo ledak gol ke-100 Liga Perdana Inggeris

Pautan : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2022/04/948958/ronaldo-ledak-gol-ke-100-liga-perdana-inggeris

Kad Touch 'n Go versi baru boleh tambah nilai guna e-wallet tanpa surcaj

 

Kumpulan Touch 'n Go (TNG) kini memperkenalkan kad baharu yang ditambah baik di mana pengguna boleh menambah nilai pada bila-bila masa dari aplikasi Touch 'n Go eWallet.


Malah, tiada surcaj dikenakan untuk tambah nilai.


Kad baharu ini juga dilengkapi tahap enkripsi lebih tinggi bagi memastikan keselamatannya.



Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya berbesar hati dapat memperkenalkan kad versi baharu ini yang dapat mengatasi masalah pengguna untuk menambah nilai.


"Dengan tawaran kad yang dipertingkatkan ini, pengguna kini boleh memilih untuk mendapatkan kad yang boleh ditambah nilai pada bila-bila masa atau di mana-mana sahaja daripada aplikasi Touch 'n Go eWallet," katanya dalam kenyataan hari ini.


Kad yang dinaik taraf itu tersedia untuk pembelian pada harga RM10, harga yang sama dengan kad Touch 'n Go versi lama dan boleh dibeli di aplikasi Touch 'n Go eWallet serta di lokasi runcit terpilih di seluruh negara.


Selepas pengguna menerima kad Touch 'n Go yang dinaik taraf, mereka perlu memautkan kad itu ke Touch 'n Go eWallet mereka.


Pengguna hanya perlu memegang kad di belakang telefon pintar yang dilengkapi ciri Near Field Communication (NFC) selama lima saat untuk mengaktifkan kad baharu.



Selepas melengkapkan pautan, pengguna kemudian boleh melihat baki kad dan melakukan tambah nilai.


Fungsi ini kini tersedia untuk kedua-dua peranti iOS dan Android, dan pengguna boleh memautkan sehingga lima kad Touch 'n Go ke Touch 'n Go eWallet mereka.


"Kami menjangkakan permintaan untuk kad yang dinaik taraf ini sangat tinggi. Bagaimanapun, memandangkan kekurangan cip global, kami menjangkakan permintaan akan melebihi bekalan. Jadi, kami berharap pengguna dapat bersabar menanti kad mereka," katanya.


Sekiranya stok untuk kad ini kehabisan pada aplikasi Touch 'n Go eWallet atau saluran runcit, pengguna dinasihatkan untuk mendaftar minat mereka pada aplikasi Touch 'n Go eWallet, dan mereka akan dimaklumkan apabila kad ini tersedia untuk pembelian.


Sama seperti kad Touch 'n Go semasa, kad Touch 'n Go yang dinaik taraf boleh digunakan untuk pembayaran tanpa tunai seperti biasa merentasi semua penggunaan termasuk lebuh raya bertol, perkhidmatan pengangkutan awam, dan lebih 700 tapak letak kereta di Semenanjung Malaysia.


Tambah nilai lebih mudah dengan kad Touch 'n Go versi baharu

Pautan : https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/04/834740/tambah-nilai-lebih-mudah-dengan-kad-touch-n-go-versi-baharu