• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

3 Jul 2022

Paxlovid keluaran Pfizer Inc tunggu kelulusan penuh

 

Pfizer Inc sedang mendapatkan kelulusan penuh daripada Amerika Syarikat (AS) bagi rawatan antiviral COVID-19 secara oral, Paxlovid, yang kini tersedia di bawah kebenaran penggunaan kecemasan (EUA).


Pfizer berkata, mereka menyerahkan Permohonan Ubat Baharu bagi Paxlovid kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat AS untuk rawatan COVID-19 terhadap orang divaksinasi dan tidak divaksinasi yang berisiko tinggi untuk mengalami penyakit teruk.



Memetik anggaran daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, Pfizer berkata ia akan meliputi 50 peratus hingga 60 peratus daripada penduduk AS, secara asasnya konsisten dengan ubat semasa EUA.


Kelulusan penuh itu bermakna Pfizer akan mempunyai pilihan untuk menjual Paxlovid di pasaran terbuka seperti ubat-ubatan lain, bergantung sama ada kerajaan AS memutuskan untuk berhenti membeli ubat itu atau menyediakannya secara percuma di seluruh negara.


Pakar strategi penjagaan kesihatan di Morningstar, Karen Andersen, berkata, melalui kebenaran itu, syarikat juga mungkin mempunyai lebih kawalan ke atas pendidikan kepada orang ramai melalui iklan atau cara untuk meningkatkan penggunaan.



Dalam ujian klinikal Pfizer, rawatan dua ubat yang diambil selama lima hari bermula sejurus selepas permulaan simptom COVID-19, mampu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital atau kematian sebanyak 88 peratus kepada pesakit dewasa yang tidak dimasukkan ke hospital dan berisiko tinggi.


Data daripada kajian di Israel awal bulan ini pula menunjukkan Paxlovid mengurangkan kemasukan ke hospital dan kadar kematian COVID-19 pada pesakit yang divaksinasi dan tidak divaksinasi berumur 65 tahun ke atas.


Bagaimanapun, ia didapati tidak dapat mencegah penyakit teruk di kalangan orang dewasa yang lebih muda.


Menurut data daripada Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, lebih daripada 1.6 juta Paxlovid sudah digunakan di AS. - AFP


Pfizer Inc tunggu kelulusan penuh AS bagi jualan Paxlovid

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2022/07/971776/pfizer-inc-tunggu-kelulusan-penuh-bagi-jualan-paxlovid

28 Jun 2022

Hati-hati terima jemputan sertai kumpulan whatsapp

 Nombor telefon adalah data peribadi yang paling berharga ketika ini dan berisiko digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sama ada untuk mengaut keuntungan atau menganiaya seseorang, kata Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Mazmalek Mohamad.


Dalam satu taklimat media mengenai data peribadi di sini hari ini, beliau menasihatkan rakyat negara ini agar tidak menyertai pelbagai kumpulan WhatsApp yang tidak berfaedah bagi mengelak berlaku perkongsian nombor telefon tanpa disedari.


"Kadang-kadang kita tidak kenal semua ahli kumpulan. Tanpa kita sedari, ada di antara ahli kumpulan secara diam-diam kongsi nombor telefon kita dengan orang lain.



"Apabila semua nombor telefon dalam kumpulan itu telah dikongsi dengan 'scammer' atau agensi telepemasaran, mereka akan tinggalkan kumpulan WhatsApp dan sertai kumpulan lain pula," katanya taktik berkenaan memudahkan sindiket penipuan atau telepemasaran memiliki nombor telefon secara mudah.


Menurut Kaji Selidik Pengguna Internet 2020 yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), katanya 98.7 peratus rakyat negara ini memilih aplikasi WhatsApp sebagai medium komunikasi utama.


"Jumlah ini tinggi, kalau semua nombor telefon ini dikongsi dengan mudah, maka ramai rakyat kita terdedah dengan jenayah penipuan," katanya.


Mazmalek dalam pada itu berkata, pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini dan ia kini dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara.


Namun, katanya terpulang kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa untuk tarikh yang sesuai untuk dibentangkan pindaan itu di Parlimen.


Pada 12 Februari 2020, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dilaporkan sudah menjalankan rundingan awam berhubung cadangan pindaan Akta 709 bagi memperkasa perlindungan data peribadi di Malaysia di samping memastikan akta berkenaan selari dengan kehendak revolusi ekonomi digital, teknologi, sosial dan perkembangan persekitaran.


Jangan suka-suka sertai kumpulan WhatsApp

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/856480/jangan-suka-suka-sertai-kumpulan-whatsapp

19 Jun 2022

Kedai kopi dijual dengan harga lebih RM126 juta

 

Sebuah kedai kopi di Yishun bertukar tangan pada harga SGD$40 juta (RM126.6 juta), dengan harga setiap kaki persegi (kps) mengatasi beberapa unit runcit aras bawah di kawasan beli-belah utama Orchard Road.


Sebuah firma dipanggil Y848 membuat kaveat iaitu sebuah dokumen undang-undang dibuat untuk memberikan notis tuntutan terhadap hartanah, dengan Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada 10 Mei untuk KPT Kopitiam 24 jam di Blok 848 Yishun Street 81.


Berita Harian Singapura melaporkan, ini adalah kedai kopi kedua yang dijual pada harga rekod, menyusuli berita awal minggu ini bahawa kedai kopi di Tampines dibeli dengan harga rekod SGD$41.68 juta (RM132 juta).



Bagaimanapun, kedai kopi Yishun seluas 397 meter persegi itu, yang mempunyai 14 gerai, lebih kecil berbanding kedai kopi Tampines seluas 604 meter persegi, dengan 18 gerai.


Ini bermakna harganya ialah SGD$9,361 (RM29,633) bagi setiap kps berbanding SGD$6,411 (RM20,294) untuk kedai kopi Tampines.


Harga satu kps kedai kopi Yishun mengatasi purata SGD$6,964 (RM22,045) setiap kps untuk unit runcit aras bawah di Far East Plaza dan Lucky Plaza di Orchard Road yang dijual tahun ini, menurut data ERA Research dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).


Ia mempunyai baki 78 tahun dalam pajakannya, dua tahun lebih berbanding kedai kopi Tampines, yang terletak di Blok 201 Tampines Street 21.


Saluran media tempatan 8world melaporkan bahawa transaksi untuk kedua-dua kedai kopi berkenaan masih belum selesai.


Menurut Direktori Perniagaan Singapura, Y848 didaftarkan di Ibu Pejabat Chang Cheng di Woodlands.


Chang Cheng Group memiliki lebih 160 kedai makanan di Singapura, dengan jenama seperti rangkaian kedai kopi Chang Cheng Mee Wah, Chang Cheng Chinese Vegetables Rice dan Rong Kee Roasted Delights. - AGENSI


Kedai kopi di Yishun dijual pada harga lebih RM126 juta

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2022/06/967658/kedai-kopi-di-yishun-dijual-pada-harga-lebih-rm126-juta